Home Politik Pas Kelantan tidak bersungguh tuntut RM1 bilion setahun royalti minyak – Zaid

Pas Kelantan tidak bersungguh tuntut RM1 bilion setahun royalti minyak – Zaid

Zaid Ibrahim
Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pas Kelantan perlu konsisten dengan membuat dasar yang tetap dalam tuntutan royalti minyak terhadap kerajaan Persekutuan.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim berkata, dasar itu mestilah berasaskan kepada perjanjian antara kerajaan negeri dan Persekutuan untuk mendapatkan hak lima peratus yang dijanjikan.

Menurut beliau, pada tahun 1975, soal perairan dan jarak batu nautika lokasi gas dan minyak dari daratan tidak pernah timbul atau cuba dibangkitkan kerajaan Persekutuan.

“Dalam perjanjian itu, jika minyak atau gas didapati di perairan Kelantan, akan dapat lima peratus (royalti). Perjanjian ini turut tertakluk kepada negeri lain seperti Terengganu.

“Oleh itu, kerajaan Pas Kelantan perlulah profesional, jangan sesuka hati buat keputusan sekejap hendak saman Petronas, sekejap tarik saman. Mereka kena fikirkan hal rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Terus Terang Bersama RAK: Kelantan Tolak Royalti RM1 bilion? di NR Channeltv di sini, malam tadi.

Dalam bual bicara itu, Zaid yang merupakan bekas Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan menjelaskan, ketika beliau dalam parti itu, tidak dapat campur tangan urusan tuntutan royalti kerana Pas telah memfailkan saman ke atas Petronas.

Apabila menjadi kes mahkamah, katanya, mana-mana pihak termasuk UMNO Kelantan tidak boleh membuat sebarang ulasan atau kenyataan mengenainya.

“Ketika itu memang ada usaha dari UMNO Kelantan, tetapi Pas bawa kes ini ke mahkamah. Pas nak saman Petronas. Kalau kes sudah di mahkamah, mana boleh kita komen atau berucap pasal (tuntutan royalti) minyak lagi.

“Namun, masa itu kita mengharapkan penyelesaiannya diperolehi di mahkamah, tetapi malangnya, ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah, Pas tarik balik saman itu pada 2019.

“Rupanya Pas terpedaya dengan tawaran RM400 juta oleh kerajaan PH. Sedangkan, bayaran sepatutnya adalah RM1 bilion, namun Pas terpengaruh dengan gula-gula itu,” katanya.

Zaid menegaskan, kalau kerajaan Pas benar-benar bijak, mereka tidak terima wang ihsan itu, sebaliknya meneruskan tuntutan wang royalti RM1 bilion seperti dijanjikan kerajaan Persekutuan kepada Kelantan serta semua negeri yang ada minyak.

“Dalam hal ini, bukan saja pemimpin Pas kena perangkap, pemimpin UMNO pun kena perangkap (di zaman kerajaan BN tahun 1980an) juga.

“Disebabkan UMNO kalah tahun 1990, maka terdapatlah beberapa pemimpin UMNO di peringkat pusat marah kepada rakyat Kelantan dan kononnya nak ajar dengan menyekat pemberian penuh royalti minyak.

“Selain itu, kerajaan Pusat membuat saluran gas ke Wilayah Narathiwat di Selatan Thailand, sedangkan laluan Bachok lebih dekat dengan telaga minyak dan gas,” ujar beliau.

Kata Zaid, kalau pemimpin Pas bertanggungjawab, mereka tidak akan buat perkara sedemikian kerana tuntutan hampir RM1 bilion setahun boleh digunakan bagi memajukan negeri itu.

Katanya, sepanjang 32 tahun Pas memerintah Kelantan, sehingga kini belum buat sebarang tuntutan yang memberi erti kepada rakyatnya.

Ini berbeza dengan Terengganu, sejak 2008 sehingga kini telah memperoleh kira-kira RM22 bilion dari royalti petroleum dan gas.

“Jadi, isu royalti minyak ini bukan soal tidak berkesudahan, tetapi pemimpin Kelantan yang tidak bersungguh sungguh. Pemimpin (Pas) kita mudah leka. Mudah dipujuk dengan duit.

“Pandangan saya, kalau rakyat mahukan royalti RM1 bilion, mereka kena jatuhkan kerajaan Pas dan berikan kemenangan kepada kerajaan yang lebih prihatin dengan nasib mereka.

“Saya kata begitu sebab Pas yang tiba-tiba tarik balik samannya ke atas Petronas. Pas yang tidak mahu minta royalti dan tidak mahu berterusan membuat tuntutan. Kita nak harapkan mereka bela rakyat?,” soal beliau. – MalaysiaGazette