Home Ekonomi Pengambilan untung pacu kejatuhan harga minyak

Pengambilan untung pacu kejatuhan harga minyak

Gambar hiasan

TOKYO – Harga minyak jatuh dalam dagangan hari ini apabila pelabur mengambil untung daripada kenaikan kepada paras tertinggi tujuh tahun ekoran kebimbangan Rusia mungkin menyerang Ukraine.

Niaga hadapan minyak mentah Brent diniagakan AS$96.19 setong menjelang 0205 GMT, turun AS$0.29 atau 0.3%, selepas meningkat AS$2.04 pada hari Isnin.

Minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) susut AS$0.36 atau 0.4%, kepada AS$95.10 setong, selepas memperoleh AS$2.36 hari sebelumnya.

Kedua-dua penanda aras mencecah paras tertinggi sejak September 2014 pada hari Isnin, dengan Brent mencecah AS$96.78 dan WTI mencecah AS$95.82 setong.

Rusia adalah salah satu pengeluar minyak dan gas terbesar di dunia dan kebimbangan ia akan menyerang Ukraine telah mendorong kenaikan minyak ke arah AS$100 setong, tahap yang tidak pernah dilihat sejak 2014.

“Pelabur memperoleh keuntungan daripada kenaikan semalam walaupun mereka teragak-agak berikutan ketegangan yang meningkat di Eropah Timur.

“Pasaran minyak mungkin melihat pembetulan sebenar jika perjanjian nuklear Iran-ASdipersetujui atau ekuiti global terus jatuh di tengah-tengah kebimbangan terhadap inflasi dan dasar monetari yang lebih ketat oleh bank pusat,” kata Hiroyuki Kikukawa, Pengurus Besar Penyelidikan di Nissan Securities. – Reuters (https://www.reuters.com/business/energy/oil-falls-profit-taking-all-eyes-russia-ukraine-2022-02-15/)