Home Nasional Surat cinta Anaqi untuk Mia, bukan dia yang tulis – Ibu

Surat cinta Anaqi untuk Mia, bukan dia yang tulis – Ibu

Ibu kepada Anaqi, menunjukkan video yang tular di laman sosial ketika bercakap pada Malaysia Gazette bagi menjelaskan tuduhan terhadap anaknya berkenaan surat cinta yang tular Tea Live Eco Majestic Semenyih, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 15 FEBRUARI 2022.

SEMENYIH – Setelah lima hari kisah surat cinta murid Tahun 3 yang dikenali sebagai Anaqi dan Mia berlegar di media sosial, ibu kepada Anaqi tampil menjelaskan bahawa surat tersebut bukan ditulis atau dihantar anak lelakinya itu kepada Mia.

Ketika ditemui MalaysiaGazette di Eco Majestic, ibu tunggal berusia 30 tahun itu menjelaskan ia ditulis oleh murid yang sama kelas dengan anaknya itu sebagai bahan usikan.

“Di sini saya ingin tegaskan, perbuatan yang dilakukan oleh pelajar tersebut mungkin kita menganggap ia adalah perbuatan kanak-kanak yang baru membesar.

Ibu kepada Anaqi, menunjukkan video yang tular di laman sosial ketika bercakap pada Malaysia Gazette bagi menjelaskan tuduhan terhadap anaknya berkenaan surat cinta yang tular Tea Live Eco Majestic Semenyih, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 15 FEBRUARI 2022.

“Cuma saya ingin membuat sidang media ini untuk menegakkan apa betul dan saya rasa saya patut beritahu semua orang bahawa bukanlah Anaqi yang tulis surat tersebut,” kata ibu Anaqi yang telah memaafkan perbuatan kanak-kanak lelaki berkenaan.

Beberapa hari lalu, tular rakaman video berdurasi 26 saat di aplikasi TikTok yang memaparkan ibu seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun mendedahkan anaknya menerima surat cinta disulami lukisan ‘lucah’ daripada rakan sekelasnya.

Mengulas lanjut, katanya, salah faham itu telah diselesaikan secara baik dengan semua pihak termasuk sekolah kanak-kanak berkenaan, ibu Mia dan ibu kanak-kanak yang menulis surat cinta tiga muka surat itu.

Namun apabila memikirkan mungkin isu itu akan berbangkit pada masa depan apabila mereka dewasa, wanita itu berkata, beliau mengambil keputusan untuk menjelaskan kepada masyarakat dan mempertahankan anak sulungnya itu.

“Tetapi sebagai pengajaran apa yang berlaku hari ini, saya nak perbetulkan nama anak saya. Sebab saya rasa setiap hinaan dan kecaman tu saya tak boleh berdiam diri. Sebagai ibu, saya akan lindungi anak saya walau apa pun yang terjadi,” tambah ibu Anaqi.

Ibu kepada Anaqi, bercakap kepada Malaysia Gazette bagi menjelaskan tuduhan terhadap anaknya berkenaan surat cinta yang tular Tea Live Eco Majestic Semenyih, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 15 FEBRUARI 2022.

Berikutan itu, beliau meminta pengguna media sosial supaya tidak menyebarkan atau memuatnaik video atau tangkap layar mengenai kisah surat ‘cinta Anaqi dan Mia’.

“Bagi saya, cukup lah sampai hari ini. Cukup lah sampai dekat sini. Tolong turunkan segala video-video tu, sebab saya sebagai ibu yang dah berjumpa dengan ibu Mia, ibu budak yang lukis tu, kita semua dah berbaik. Pihak sekolah pun dah memohon maaf kepada saya.

“Kepada ibu-bapa di luar sana, sentiasalah pantau anak kita, dari sisi apa pun dia, tapi kita kena sentiasa memaafkan dia,” ujarnya

Ketika berita ini ditulis, video asal berkenaan telah dipadamkan oleh ibu kepada Mia di aplikasi TikTok. – MalaysiaGazette