Home Nasional Prosiding bela diri Rosmah tangguh, peguam positif Covid-19

Prosiding bela diri Rosmah tangguh, peguam positif Covid-19

Rosmah Mansor pink diamond necklace
Rosmah Mansor

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini membenarkan perbicaraan rasuah berkaitan projek tenaga solar sekolah luar bandar Sarawak yang membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor ditangguhkan pada hari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan membuat ketetapan itu selepas dimaklumkan salah seorang daripada peguam utama Rosmah, Datuk Akberdin Abdul Kader disahkan positif Covid-19.

Selain Akberdin, dua lagi peguam Rosmah terpaksa menjalani kuarantin selepas menjadi kontak rapat kepada Akberdin pada 10 Februari lepas.

“Saya doakan supaya beliau (Akberdin) akan sembuh dari jangkitan Covid-19 ini.

“Kita tetapkan 23 Februari bagi sambung perbicaraan,” katanya hari ini.

Pasukan pendakwaan sepatutnya menyoal balas saksi terakhir pembelaan iaitu bekas Pegawai Khas di Bahagian First Lady of Malaysia (FLOM) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod pada hari ini.

Sejurus selepas saksi itu, difahamkan mahkamah akan menutup kes mendengar keterangan saksi pembelaan.

Bagaimanapun dalam perkembangan kes hari ini, Rosmah membuat satu lagi permohonan untuk memanggil semula saksi utama pendakwaan, Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram di hadapan Mohamed Zaini, bagi permohonan itu pendakwaan akan menjawab afidavit permohonan itu selewat-lewatnya pada Khamis ini.

Rosmah yang juga isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhadapan pertuduhan meminta rasuah sebanyak RM187.5 juta dan menerima RM6.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar hibrid di sekolah luar bandar di Sarawak.

Beliau didakwa meminta suapan RM187.5 juta daripada Saidi melalui pembantunya ketika itu sebagai dorongan untuk membantu syarikat tersebut mendapatkan projek solar menerusi rundingan terus dengan Kementerian Pendidikan. -MalaysiaGazette