Home Politik Najib ‘nasihat’ Ahmad Fadhli jangan putus asa tuntut pengeluaran KWSP

Najib ‘nasihat’ Ahmad Fadhli jangan putus asa tuntut pengeluaran KWSP

Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak ‘menasihati’ Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari agar tidak cepat putus asa membantah cadangan UMNO supaya dibenarkan pengeluaran i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Mantan Perdana Menteri itu berkata, penyelesaian cadangan yang dikemukakan itu akan selesai sekiranya Ahli Parlimen Pasir Mas itu mengajak pemimpin Perikatan Nasional bersama-sama memberi sokongan.

“Penyelesaiannya amat mudah sekiranya hasrat YB benar-benar untuk sokong pengeluaran i-Citra RM10,000 kali terakhir ini.

“Ianya bukan lagi syarat ‘meminang’ Puteri Gunung Ledang atau pun cubaan propaganda kamu bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab kenyataan Ahmad Fadhli menerusi Facebooknya yang menyatakan, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sendiri memaklumkan kerajaan tidak hasrat untuk membenarkan pengeluaran i-Citra KWSP kali kedua.

Pemimpin muda Pas itu kemudiannya menegaskan, bagaimana ada sebahagian pemimpin UMNO berkeras menyebut ia keputusan ‘tanpa rela’ Perdana Menteri?

“Akuilah hakikatnya Perdana Menteri dari UMNO sendiri sebenarnya tidak bersedia laksanakan keputusan ini. Kenapa masih bermain wayang?

“Beri ruang selesa kepada Perdana Menteri untuk buat pertimbangan berasaskan kemampuan kerajaan. Janganlah perlekehkan Perdana Menteri dari parti sendiri seolah-olah jadi ‘puppet’ semata-mata,” tulis Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat itu.

Najib menjawab hantaran facebook Ahmad fadhli Shaari.

Beliau meminta Ahmad Fadhli menggesa pemimpin Pas dan Bersatu mengeluarkan kenyataan umum buat kali pertama bagi meminta Perdana Menteri meluluskan pengeluaran i-Citra RM10,000 kali terakhir itu.

Katanya Najib lagi, Ahmad Fadhli juga perlu meminta kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Abdul Hadi Awang kononnya gesaan itu sebagai antara syarat sokongan mereka bagi kerajaan hari ini.

“Sekiranya Presiden UMNO, Pas dan PPBM sebulat suara mendesak agar permintaan ini diluluskan serta-merta, adakah ada kemungkinan bahawa Perdana Menteri kesembilan akan tolak?

We are all depending on you now, YB. Sila usahakan,” sindirnya sambil mengingatkan pemimpin muda Pas itu bahawa Ismail Sabri hanya menyampaikan keputusan mesyuarat Kabinet sahaja pada hari itu. – MalaysiaGazette