KAJANG – Saranan beberapa pihak berhubung isu kenaikan gaji minimum berjumlah RM1,500 yang dituntut golongan pekerja mendapat reaksi berbeza dalam kalangan pakar ekonomi dan akademik.
Ada yang menyokong ia dilaksanakan segera selepas terlewat untuk direalisasikan, malah ada juga yang berpandangan ia harus dikaji dengan mengambil kira kedudukan para majikan.
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berpendapat, kenaikan gaji minimum hanya menguntungkan golongan pekerja asing di negara ini.
Ini kerana katanya, pekerja warga asing mendapat upah yang lumayan dan boleh dibawa pulang, sekali gus merancakkan lagi ekonomi di negara mereka.
Menurutnya, pandangan bahawa rakyat Malaysia akan mendapat faedah daripada kenaikan gaji minimum adalah tidak tepat kerana isu tersebut melibatkan mereka yang berada di peringkat bawahan termasuk pekerja warga asing tersebut.
“Kita boleh lihat dalam kajian yang dilakukan pada tahun 2018 mengenai kesan gaji minima pada masa itu.
“Daripada dapatan kajian berkenaan bahawa 1.8 juta pekerja telah mendapat faedah daripada peningkatan gaji minima pada tahun berkenaan. Ada kira-kira 2 juta pekerja asing di Malaysia pada ketika itu.
“Kita merasakan bahawa yang mendapat faedah pada ketika itu adalah mereka pekerja asing dan bukannya rakyat Malaysia.
“Pekerja asing ini telah menghantar RM3.4 bilion setiap tahun ke negara asal mereka. Bayangkan kalau duit itu kita gunakan untuk membangunkan ekonomi kita, ia boleh merancakkan ekonomi dalam negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi jemputan khas dalam program bual bicara bertajuk Gaji Minimum di Malaysia: Apa Kesudahannya anjuran Majlis Profesor Negara (MPN), di sini, hari ini.
Pakar Ekonomi UNIRAZAK, Prof Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berpendapat, perkara tersebut perlu dikaji dengan lebih mendalam lagi sebelum sebarang keputusan dibuat.
Katanya, ia mungkin boleh ditangguh dahulu ketika ini kerana kadar produktiviti pada tahun lepas telah menurun sehingga 5.5 peratus ekoran beberapa insiden yang dialami negara seperti bencana banjir, penularan jangkitan Covid-19 dan sebagainya.
“Tangguhlah sikit lagi, jangan buat dahulu, jangan tergesa-gesa.
“Ini kerana ia tidak mengubah banyak perkara pun sebagaimana yang kita harapkan,” ujarnya.
Sementara itu Presiden MPN, Prof Datuk Dr Raduan Che Ros yang turut menjadi panel pada program berkenaan berkata, isu tersebut perlu dilihat secara realistik.
Katanya, meskipun ada yang berpandangan bahawa kenaikan gaji minimum RM1,500 itu tinggi tetapi dalam masa yang sama semua pihak harus sedar bahawa gaji minima yang pernah diumum pada 2020 berjumlah RM1,200 masih rendah.
“Saya percaya RM1,100, RM1,200 itu perlu dilihat dalam masa sekarang ini…tapi tidak semestinya (terus dilaksanakan).
“Saya percaya Majlis Perundingan Gaji Nasional akan lebih mengambil kira termasuk dalam keadaan berlakunya pandemik yang kita hadapi sekarang ini.
“Tak semestinya naik setiap tahun (gaji) tapi, kena ada semangat supaya gaji minima itu dikaji dua tahun sekali untuk dinaikkan mengambil kira kos sara hidup,” tambahnya.
Dalam pada itu beliau meminta kerajaan agar lebih realistik dalam hal tersebut dengan melihat kewajaran menaikkan gaji minimum untuk sektor-sektor tertentu. – MalaysiaGazette
Dah lama warga asing beruntung besar lebih-lebih lagi dapat pulau free buat negara sendiri. Padan muka Pak Pandir modern kemaruk undi pekerja migran expats menguntungkan ekonomi penjajah Inggeris.
betul.. sekarang baru mereka nak sedar yg warga asing untung. Upah yg mereka terima lebih tinggi dari warga tempatan yg berjawatan sama kerana ot yg melebihi had, tempat tinggal disediakan, pengangkutan percuma. Rakyat sendiri juga yg tersepit hidup.