PUCHONG – Seorang pemandu kereta mendakwa konvoi VIP telah merosakkan cermin sisi keretanya.
Kejadian tersebut berlaku di Lebuhraya Elite, berhampiran laluan keluar Saujana Putra.
Pemilik akaun @Fannnf, mendakwa cermin sisi kenderaannya dirosakkan oleh seorang penunggang motor yang ketiga dalam konvoi VIP kerana lambat menukar dari lorong kanan ke lorong kiri jalan raya.
Katanya, sewaktu kejadian, konvoi berkenaan sedang memotong kenderaan yang dipandunya.
Pemandu itu berkata, dia lambat menukar lorong kerana tidak boleh meluru ke lorong kiri pada saat-saat akhir.
Jika dia berbuat demikian, pemandu tersebut akan mengundang padah melanggar kenderaan lain.
Gambar kerosakan itu dikongsi di Twitter.
Susulan insiden yang berlaku, dia membangkitkan persoalan melalui ciapan di Twitter rasmi PDRM: “Saya nak tanya @PDRM, adakah trip VIP ini sangat penting? Sampai merisikokan nyawa pengguna jalan raya yang lain?”.
Oleh itu, dia meminta pihak konvoi untuk bertimbang rasa dengan pengguna jalan raya yang lain.
Apa yang dikongsi Irfan, kemudian mendapat maklum balas daripada mereka yang pernah melalui pengalaman sama.
@mhdfarn turut membalas posting tersebut berkata: “Perkara ini pun terjadi pada saya tahun lepas, memang tak perasan yang ada konvoi di belakang, bila tukar lane, konvoi escort patahkan cermin sisi. Sakit hati gila! Tak sangka ada juga orang kena senasib,”.
Pengguna @K25398167 berkata: “Perkara ini sering berlaku, mereka akan tolak kita keluar dari lane secara terburu-buru. Kita juga panik kerana mereka tak sabar dan kurang ajar. Merbahayakan! Mereka bawa laju lebih dari had laju yang ditetapkan tetapi kita yang rakyat biasa yang kena saman sebab bawa laju,”. – MalaysiaGazette