KUALA LUMPUR – Turkish Aerospace menyertai program pameran penerbangan terbesar Asia, Airshow Singapura 2022 yang membuka tirai secara rasmi mulai hari ini dan berlangsung sehingga 18 Februari depan.
Turkish Aerospace memaklumkan, buat julung kali pihaknya akan mempamerkan model sebenar prototaip lengkap jet pejuang Turki generasi kelimanya .
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Turkish Aerospace, Temel Kotil berkata, penyertaan syarikatnya dalam pameran penerbangan di negara Asia Tenggara itu sangat penting untuk menunjukkan teknologi pertahanannya kepada umum.
“Kami sangat teruja menjadi sebahagian peserta dalam Airshow Singapura. Ia sangat penting untuk kami menyertai dalam industri pertahanan di pasaran Asia.
“Kami telah membuat keputusan strategik berskala global untuk meningkatkan aktiviti pasaran perniagaan kami dalam sektor akademik dan juga pengeluaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru, kata beliau, pihaknya juga sedang bekerja keras dalam sektor model perniagaan baharu untuk membangunkan hubungan di rantau Asia.
“Pada masa yang sama saya percaya langkah ini akan mengukuhkan lagi peluang kami menembusi pasaran pertahanan.
“Dalam skop berkenaan, kami akan mengadakan pertemuan penting dan kritikal di Singapura dalam lapangan sivil dan ketenteraan untuk meneruskan kerjasama lanjut dengan negara tersebut,” tegasnya.
Terdahulu pada tahun 2021, perjanjian jualan Turkish Aerospace UAV ANKA telah mempercepatkan pertumbuhan industri pertahanan di Asia dan sekitarnya.
Selain UAV, Jurulatih Jet Termaju Turkish Aerospace dan Pesawat Serangan Ringan HÜRJET juga ditawarkan kepada Malaysia untuk kegunaan Angkatan Tentera Malaysia.
Turkish Aerospace menjangka mewujudkan kilang memasang dan mengeluarkan 15 jet daripadanya di Malaysia jika tawaran berjaya diterima oleh kerajaan.
Turkish Aerospace merupakan sebuah pusat untuk teknologi mereka bentuk, membangun, mengeluarkan dan mengintegrasi serta memodenkan sistem aeroangkasa selepas jualan di Turki.
Beribupejabat di Ankara, kilang pengeluaran Turkish Aerospace meliputi kawasan seluas 4 juta meter persegi dengan fasiliti industri seluas 640,000 meter persegi dengan kekuatan seramai 12,000 pekerja.
Syarikat berkenaan juga mempunyai kemudahan pesawat moden yang dilengkapi jentera dan peralatan berteknologi tinggi dan menyediakan keupayaan pengeluaran tambahan selain memasang, menguji dan menjual pesawat. – MalaysiaGazette