Home Utama Populariti ‘kluster mahkamah’ hantui Tun M, Muhyiddin

Populariti ‘kluster mahkamah’ hantui Tun M, Muhyiddin

Noh Omar

KUALA LUMPUR – Tan Sri Noh Omar tidak bersetuju dengan cara Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menggunakan taktik menyerang ‘kluster mahkamah’ menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO itu turut mempersoalkan apa kaitan ‘kluster mahkamah’ itu dengan PRN Johor sehingga menghantui Pengerusi Parti Pejuang dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu.

“Tanpa hilang rasa hormat saya kepada Tun M dan Muhyiddin, saya tak setuju dengan cara mereka menggunakan taktik menyerang ‘kluster mahkamah’ menjelang PRN Johor.

“Kes mahkamah yang melibatkan pemimpin UMNO masih berjalan dan tiada satu kes pun ditutup, walaupun jawatan Perdana Menteri daripada UMNO.

“Dah tak ada modal? Nak kata kluster mahkamah, kes ini masih berjalan dan tidak ada campur tangan politik,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Dr. Mahathir dan Muhyiddin semalam, yang menggunakan taktik menyerang kluster mahkamah untuk memastikan Barisan Nasional (BN) tidak menang di Johor.

Dr. Mahathir dalam kenyataannya mendakwa, PRN kali ini merupakan langkah untuk memperkukuhkan kedudukan kluster mahkamah dan golongan kleptokrat dalam UMNO.

Katanya, PRN Johor itu telah dirancang oleh kumpulan yang dikenali sebagai kluster mahkamah dan kleptokrat dari UMNO.

Sementara itu, Muhyiddin pada Jumaat lalu, menyatakan pendiriannya bahawa satu-satu cara untuk tidak memberikan kluster mahkamah kembali berkuasa adalah dengan tidak mengundi BN pada PRN Johor ini.

Beliau berkata, jika kemenangan diberikan kepada BN pada PRN Johor, ‘kluster mahkamah’ akan mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.

Mengulas lanjut, Noh yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor berkata, kemungkinan besar kedua pemimpin itu takut dengan populariti bossku (Datuk Seri Najib Tun Razak) yang mampu menarik undi kepada UMNO dan BN. – MalaysiaGazette