KUALA LUMPUR – Langkah Sime Darby Plantation Bhd (SDP) untuk membayar balik yuran pengambilan kepada pekerja asing semasa adalah satu langkah tepat dan menunjukkan komitmennya untuk menangani kesilapan dalam amalan pengambilan yang lalu, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Menurut bank pelaburan itu dalam catatannya hari ini, langkah itu juga akan memulakan perubahan yang diperlukan untuk mengelakkan ia berulang pada masa hadapan.
“Sementara menantikan keputusan kewangan yang akan diumumkan minggu ini, kami mengekalkan ramalan pendapatan sesaham kami,” tambahnya.
Pada Selasa, SDP mengumumkan ia telah membuat beberapa perubahan dan penambahbaikan pada struktur tadbir urus, dasar dan prosedurnya untuk memastikan operasi kumpulan itu bebas daripada ancaman buruh paksa.
Kumpulan itu merancang untuk membayar balik 15,078 pekerja asing semasa dengan jumlah agregat RM38.6 juta dan ia turut memperuntukkan dana terikat (sinking fund) berjumlah sehingga RM43.4 juta untuk membayar balik 19,565 bekas pekerja asing.