KUALA LUMPUR – ”Adakah dalam bahasa Melayu pun mereka hendak guna Premier juga?,” soal Datuk A. Kadir Jasin selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak membenarkan gelaran jawatan ‘Ketua Menteri’ kepada ‘Premier’ semalam.
Wartawan veteran itu berkata, di Malaysia banyak orang suka nama orang putih dan Arab walaupun tak faham ‘kepala ekor’ asalkan nampak bergaya.
Dakwanya, Sarawak dan Sabah sekarang tengah beria-ia hendak berlainan daripada Semenanjung atas alasan autonomi.
”Kita sedar dan, sikit sebanyak, kita faham aspirasi mereka.
”Tapi setakat tukar gelaran Chief Minister jadi Premier kerana nak bunyi seakan-akan Prime Minister pun tak guna juga kalau benda-benda lain yang bersangkut-paut dengan kehidupan rakyat jelata tidak bertambah baik,” ulasnya melalui hantaran di Facebook.
Katanya, sebuah negara persekutuan macam Malaysia, Australia dan Kanada, ketua kerajaan pusat digelar Perdana Menteri atau dalam bahasa Inggeris, Prime Minister.
Ketua kerajaan negeri dalam bahasa Inggeris pula disebut Chief Minister macam di India, sebuah negara republik persekutuan.
Di Australia dan Kanada, ketua kerajaan negeri digelar Premier.
Malangnya media massa berbahasa Inggeris pun sering keliru mengenai penggunaan prime minister dan premier ini dan sering mencampuradukkannya.
Sedangkan penggunaan yang tepat adalah “Prime Minister of Australia, Scott Morrison“. “Premier of Victoria, Daniel Andrews“, ujarnya.
Di Malaysia, ketua kerajaan negeri-negeri Melayu dipanggil Menteri Besar, tidak ada gelaran dalam bahasa Inggeris daan ketua kerajaan Negeri-negeri Selat (Pulau Pinang dan Melaka), Sarawak dan Sabah digelar Ketua Menteri atau dalam bahasa Inggeris, Chief Minister.
Bagaimanapun, katanya, jangan pula kita keliru antara ketua negara dengan ketua kerajaan kerana ketua negara Malaysia adalah Yang di-Pertuan Agong dan ketua kerajaan adalah Perdana Menteri.
”Lepas ini janganlah hairan kalau negeri-negeri lain pun nak tiru Sarawak dengan menukar gelaran menteri besar dan ketua menteri mereka. Inilah jadinya apabila Kerajaan Pusat lemah dan perdana menteri tidak dihormati. Negeri-negeri pun naik tocang,” tambahnya.