Home Nasional Kerajaan jangan berdolak-dalik halang pengeluaran KWSP – GHRF

Kerajaan jangan berdolak-dalik halang pengeluaran KWSP – GHRF

S Shashi Kumar

PUTRAJAYA – Kerajaan diingatkan tidak mempolitikkan isu pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan memberikan pelbagai alasan untuk berdolak-dalih bagi menghalang pencarum membuat pengeluaran akaun persaraan mereka.

Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Global (GHRF), S.Shashi Kumar berkata, tindakan itu hanya memberi gambaran kerajaan hari ini tidak mempunyai aliran tunai yang mencukupi untuk menyelesaikan permohonan pengeluaran KWSP.

“Jika benar masalah aliran tunai tersebut berlaku, kerajaan perlu menyelesaikan dengan cara yang berhemah tanpa melibatkan rakyat.

“Wang yang dicarum melalui potongan gaji disimpan dalam akaun KWSP adalah milik pencarum dan kerajaan pula hanya bertindak sebagai pemegang amanah.

“Jika pencarum ingin mengeluarkan wang caruman atas sebab penting termasuk akibat pandemik Covid-19, kerajaan tidak boleh memberi alasan menghalangnya,” katanya pada sidang media di luar bangunan Perdana Putra, di sini, hari ini.

Terdahulu Shashi bersama 10 wakil gabungan badan bukan kerajaan (NGO) itu menyerahkan memorandum kepada perdana menteri bagi menggesa membenarkan pencarum membuat pengeluaran wang dari akaun KWSP.

Dalam pada itu, Shashi menegaskan alasan yang diberikan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz demi menjamin kehidupan pencarum selepas persaraan adalah tidak munasabah.

“Bilangan pencarum KWSP terpaksa memajak barang-barang kemas di kedai pajak gadai meningkat, malah 10,000 individu diisytihar bankrap sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ini tidak termasuk mereka yang menghadapi masalah harta seperti rumah dan kereta ditarik termasuk dilelong oleh institusi peminjam wang,” katanya.

Katanya, kerajaan harus sedar betapa seriusnya kesusahan dan penderitaan yang dihadapi rakyat Malaysia dan kerajaan sepatutnya memberi pilihan agar pencarum terkesan membuat keputusan sama ada mengeluarkan atau sebaliknya caruman mereka.

“Kerajaan jangan pula merumitkan masalah rakyat. Memang caruman KWSP demi usia tua dan untuk kegunaan pada masa hadapan tetapi lebih penting pada era pandemik ketika ini.

“Apa gunanya simpanan untuk masa hadapan jika pencarum menderita pada masa ini dan kemungkinan tidak mencecah usia tua,” katanya lagi. – MalaysiaGazette