Home Politik PRN Johor: Warisan bertanding 7 kerusi?

PRN Johor: Warisan bertanding 7 kerusi?

Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal. Foto FAREEZ FADZIL, 17 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Parti Warisan Sabah (Warisan) yang akan bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mungkin meletakkan tujuh calon pada PRN itu.

Menurut sumber, antara kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menjadi sasaran adalah kawasan Permas.

“Ini kerana kita banyak mendapat sokongan tidak berbelah bahagi daripada masyarakat di situ terutamanya kaum Cina. Banyak juga rakyat Sabah tinggal di situ. Sokongan dan penerimaan kita memang bagus.

“Untuk kerusi-kerusi lain, ia belum muktamad lagi, calon tempatan juga sedang dikenalpasti terutamanya yang mesra dengan masyarakat,” katanya yang merupakan pemimpin parti tersebut.

Semalam, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, parti itu akan bertanding pada PRN Johor secara solo dan tidak akan berunding dengan mana-mana parti politik.

Kata Ahli Parlimen Semporna itu, rakyat telah menolak Pakatan Harapan (PH) pada dua PRN iaitu di Sarawak dan Melaka, oleh itu ia mungkin merupakan ukuran untuk tidak menjalinkan kerjasama pada masa ini.

Bagaimanapun sumber itu memberitahu, untuk PRN Johor sahaja Warisan mungki tidak akan berunding dan senario mungkin berubah untuk Pilihan Raya Umum (PRU).

“Mungkin ada kerjasama masa PRU nanti tetapi di PRN Johor ini, kita mahu terus kepada rakyat, PRN Johor adalah satu permulaan buat kita dalam parti.

“Objektif utama parti Warisan kepada rakyat di negara ini ialah kita tidak lagi main kad perkauman dan agama dalam politik, negara ini bukan milik satu kaum sahaja, sebaliknya untuk semua kaum. Itulah antara perjuangan kita rakyat di negara ini,” ujarnya

Semalam, Mohd Shafie memperkenalkan bekas Naib Ketua Bahagian UMNO Tanjung Piai, Suhaimi Salleh sebagai Ketua Koordinator Warisan Johor. – MalaysiaGazette