KUALA LUMPUR – Bekas pemain yang pernah beraksi di Serie A bersama Fiorentina, Amidu Salifu secara rasmi melengkapkan kuota terakhir pemain import Kelantan United .
Pemain yang beraksi di posisi tengah itu menyertai Shuhei Fukai, Masashi Motoyama dan Jacob Njoku bagi memperkuat cabaran The Green Deers dalam kempen Liga Premier musim ini.
“Pemain kelahiran Accra, Ghana ini memulakan karier di peringkat remaja di kelab Itali, Vicenza Calcio dan membuat penampilan bersama skuad senior dalam Serie B pada musim 2010-2011.
“Salifu yang pernah menyarung jersi skuad kebangsaan Ghana Bawah 20 Tahun mempunyai pengalaman hampir satu dekad beraksi dengan pelbagai kelab dalam liga di Itali.
“Kelab terakhir diwakilinya adalah Petrolul Ploiesti FC, dalam liga Romania musim 2020-2021,” kata satu hantaran di Facebook Kelantan United.
Kariernya mula berkembang selepas itu setelah Fiorentina setuju meminjamkan Amidu Salifu ke beberapa kelab seperti Modena, Perugia dan Brescia. – MalaysiaGazette