KUALA LUMPUR – Kes harian Covid-19 terus meningkat dengan sebanyak 27,831 kes positif jangkitan virus itu direkodkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif melonjak kepada kepada 3,111,514 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 1,269 kes dimasukkan ke hospital dengan 428 kes adalah kategori 3, 4 dan 5 serta 841 kes kategori 1 dan 2.
Katanya, meskipun ketika kes diuji dan baharu didiagnosa, kebanyakan pesakit adalah pada kategori rendah iaitu 99.65 peratus adalah kategori 1 dan 2.
“Namun, dalam hari-hari berikutnya ada kes yang boleh merosot ke kategori lebih tinggi hingga memerlukan kemasukan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 serta hospital,” katanya menerusi hantaran facebooknya, hari ini.
Menurut Dr. Noor Hisham, daripada 27,831 kes baharu, 97 kes adalah kategori 3, 4, dan 5, manakala 27,734 kes pula kategori 1 dan 2. – MalaysiaGazette