Home Nasional Kes harian meningkat, orang ramai perlu terus patuh SOP – Polis

Kes harian meningkat, orang ramai perlu terus patuh SOP – Polis

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai mengadakan lawatan mesra sempena Tahun Baru Cina di Pasar Pagi Taman Kok Doh Segambut, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 17 FEBRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai mahu orang ramai terus berwaspada dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) susulan kenaikan mendadak jangkitan kes positif Covid-19 sejak akhir-akhir ini.

Menurutnya, pengunjung dan peniaga juga dinasihatkan supaya peka dan terus mematuhi arahan ditetapkan.

“Hari ini saya meluangkan masa melawat penduduk setempat terutamanya pengunjung dan peniaga di pasar pagi. Selain itu, turut dilakukan pemantauan SOP dalam kalangan pengunjung berikutan kenaikan mendadak kes Covid-19 sejak minggu lalu.

“Kita lihat kesemua mereka yang berkunjung ke sini mematuhi SOP dengan baik dan dari kadar jenayah pula di kawasan ini didapati amat rendah,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan mesra di pasar pagi Taman Kok Doh, Segambut di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Rumah Teres Taman Sejahtera, Jeyakumar Manokaram.

Dalam lawatan itu, Eng Lai meluangkan masa lebih setengah jam menyampaikan buah tangan berupa limau mandarin kepada para pengunjung, penjaja serta peniaga. – MalaysiaGazette