Home Nasional Fahmi mengaku tak bersalah dakwaan hina Pas

Fahmi mengaku tak bersalah dakwaan hina Pas

Pereka grafik dan aktivis, Fahmi Reza sekali lagi dihadapkan ke mahkamah bagi pertuduhan secara sedar, membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain berkaitan isu minuman keras di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 17 FEBRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Aktivisi dan pereka grafik kontroversi, Fahmi Reza mohon dibicarakan atas kesalahan menghina parti Pas di laman sosial dengan mengaitkan parti itu dengan gambar minuman bir.

Sebaliknya, Fahmi atau nama sebenarnya, Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim M. M. Edwin Paramjothy pagi ini.

Fahmi Reza didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia kerana memuat naik hantaran berunsur jelik pada 1 Jun 2021 dengan niat untuk mengganggu orang lain.

Ini juga bukan kali pertama aktivis itu didakwa kerana pada minggu lepas, dia berhadapan dengan tuduhan membabitkan isu peraturan kuarantin terhadap menteri yang pulang dari lawatan rasmi di luar negara tahun lalu.

Hari ini ketika prosiding, Hakim Edwin kemudian memerintahkan jaminan RM3,000 dan menetapkan sebutan kes pada 30 Mac ini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Najihah Farhana Che Awang mahu jaminan sebanyak RM10,000 dikenakan terhadap Fahmi berikutan keseriusan kesalahan tersebut namun peguambelanya, Rajsurian Pillai mahu jaminan tersebut dikurangkan memandangkan anak guamnya memberikan kerjasama penuh.

“Anak guam saya juga tidaklah berisiko melarikan diri ke mana-mana atau ganggu gugat saksi dalam kes ini, mohon jaminan itu di kurangkan sedikit Yang Arif,” katanya.

Jika sabit kesalahan, Fahmi Reza berhadapan dengan hukuman maksimum denda RM50,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 setiap hari jika kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Mengikut kertas pertuduhan, Fahmi didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Penghantaran komunikasi itu dibaca pada jam 9 pagi, 2 Jun 2021 di sebuah unit di alamat B-16-04 Pangsapuri Melur, Jalan 2/48A Sentul Perdana, Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Fahmi yang tiba di lobi mahkamah Jalan Duta pagi turut membawa bersama lakaran yang didakwa jelik itu sambil menayangkannya kepada media sebelum masuk bagi prosidingnya. – MalaysiaGazette