KUALA LUMPUR – Anak seorang guru Sekolah Kebangsaan Tok Sera di Kuantan yang meninggal dunia baru-baru ini mengecam fitnah yang disebarkan golongan antivaksin kononnya ibunya mati akibat kesan vaksin.
Anaknya, Mohammad Faeez menafikan dakwaan palsu kematian ibunya, Allahyarham Baizura Othman yang berusia 50-an dalam laman media sosial.
“Saya selaku anak dan wakil waris mengecam sekeras-kerasnya kebiadaban kumpulan antivaksin yang membuat berita palsu tentang kematian mama (Baizura) tanpa berhubung langsung dengan waris.
“Untuk pengetahuan si bahlul ini semua, punca kematian mama adalah daripada tindak balas dengan ubat pelali (anaesthesia) yang diberikan kepada mama sebelum prosedur intubasi dan beberapa prosedur lain pada malam kematiannya,” tulisnya dalam bebenang ciapan Twitter.
Mohammad Faeez juga menafikan dakwaan akibat vaksin Covid-19 juga ibunya menghidap sakit lutut dan mula menggunakan kerusi roda.
“Mama aku sakit lutut sejak sebelum ada Covid lagi! Ini gambar tahun 2018, dah memang aku tolak atas kerusi roda, masa ini vaksin pun belum ada,” tegasnya yang turut mengepilkan gambarya bersama ibunya yang duduk atas kerusi roda.
Dalam pada itu, beliau mahu Kementerian Kesihatan (KKM) dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin agar mengambil tindakan segera ke atas pihak antivaksin yang menularkan berita palsu dalam media sosial.
“Kami masih bersedih atas kematian mama kami tetapi dengan tanpa hati perut puak-puak ini jadikan berita kematian mama untuk sebarkan dakyah mereka,” tulisnya sambil menambah akan membuat laporan polis mengenainya. – MalaysiaGazette