Home Nasional Pengeluaran RM10,000 KWSP talian hayat M40

Pengeluaran RM10,000 KWSP talian hayat M40

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

ISU pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) nampaknya menjadi mainan bibir pihak tertentu.

Ada yang sebelum ini tidak pun endah isu itu, kini mahu dilihat menjadi wira lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Negeri Johor.

Padulikan mereka, kerana ramai yang benar-benar tersepit mahu simpanan hari tua itu dikeluarkan demi kelangsungan hidup hari ini.

Lebih 100,000 mahu keluarkan RM10,000

Lebih 100,000 orang yang terdesak mahu mengeluarkan one-off RM10,000 daripada simpanan KWSP mereka.

Menurut wakil Suara Pencarum Seluruh Malaysia, Azmi Mohd Tahir, rata-rata golongan ini merupakan kumpulan M40 dan B40 yang benar-benar terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19.

Azmi Mohd Tahir

Katanya, walaupun ekonomi telah dibuka namun kesan pelaksanaan PKP lebih dua tahun itu benar-benar mendatangkan kesan yang bukan kepalang terhadap golongan ini.

Ada antara mereka telah kehilangan kerja dan ada yang gaji dipotong. Ada yang telah mendapat pekerjaan semula namun gaji yang diterima tidak seperti gaji kerja lama.

“Mereka tertekan dengan hutang yang tertunggak. Hutang rumah, kereta, motor dan sebagainya dengan bank. Bila mereka dikenakan PKP kebanyakan mereka gaji telah dipotong hingga separuh. Ada yang telah diberhentikan. Jadi hutang-hutang ini tertunggak.

“Bila hutang tertunggak, mereka tak dapat hendak selesaikan. Jadi mereka sangat perlukan RM10,000 ini.

“Memang mereka bekerja tapi kalau liabiliti RM3,000 contohnya gaji hanya RM1,500 bagaimana hendak selesaikan? Ramai yang kata kerjalah, pergilah cari kerja. Ia memang mereka cari kerja. Tapi yang tertunggak ini macam-mana nak bayar?” jelasnya.

Azmi berkata, ada antara kumpulan ini yang tertekan hingga menzahirkan ayat mahu menamatkan hidup dan ada pula yang terpaksa mencari ah long untuk membuat pinjaman haram.

Benar keluarkan selepas dividen 2021 diisytiharkan

Cadangan agar pengeluaran simpanan RM10,000 dibenarkan selepas dividen 2021 diisytihar amat disambut baik.

Azmi berkata, pembayaran dividen membantu menambah jumlah simpanan para pencarum. Justeru pencarum tidak terasa penyusutan simpanan dalam tabungan jika wang dikeluarkan.

Saya rasa itu sangat-sangat sesuailah. Tapi jangan sampai rayalah. Lambat sangat. Kalau boleh dipercepatkanlah. Ramai yang menangis mahukan bantuan ini.

“Menganggu mental dan emosi. Boleh jadi gila. Ada dua tiga orang menzahirkan emosi mahu membunuh diri. Bila dalam keadaan emosi kita tak tahu nak buat apa.

“Ada yang pinjam ceti haram. Orang cakap senang, kenapa pinjam ah long? Ok institusi mana yang paling senang beri pinjaman? Ah long asyik call. Ah long tak mahu dengar masalah,” katanya ketika dihubungi Malaysia Gazette.

Azmi berkata bukan mudah untuk mendesak Kerajaan membenarkan pengeluaran RM10,000 secara one-off ini.

Pihaknya telah menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Azmi berkata, mereka akan berjumpa dengan Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Ketua Pemuda Pas Ahmad Fadhli Shaari bagi merayu kepada Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mempertimbangkan rayuan pengeluaran wang KWSP.

Pilihan akhir

Bagi Penganalisis Ekonomi Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff pengeluaran KWSP sepatutnya menjadi pilihan terakhir pencarum.

Dr Ahmed Razman Abdul Latif

Katanya, dividen KWSP akan mempercepatkan obejktif untuk pencarum mendapatkan simpanan yang mencukupi untuk persaraan.

“Kalau dibenarkan untuk keluarkan maka kita sedia maklumlah sebelum ini apabila pengeluaran i-Sinar, i-Citra dan i-Lestari dilakukan hingga boleh keluar maksimum RM20,000.

“Pencarum secara purata terpaksa bekerja lebih empat hingga enam tahun untuk menambahkan semula simpanan.

“Jadi kebimbangan di sini ialah matlamat untuk bersara itu tidak tercapai. Kemudian dia akan memaksa pencarum bekerja tempoh lebih lama lagi untuk mendapat simpanan yang mencukupi,” jelas Ahmed Razman.

Justeru katanya, ada banyak cara untuk penyimpan mendapatkan bantuan seperti memohon daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pusat Pungutan Zakat, bandan bukan kerajaan, individu dan syarikat yang membuat kerja-kerja sosial.

Ahmed Razman berkata, masyarakat perlu faham bahawa KWSP merupakan simpanan jangka panjang sebagai persediaan untuk zaman bersara.

Kelangsungan hidup hari ini

Ramai yang faham tentang fungsi simpanan dalam KWSP. Nanum jika mereka tidak terdesak sudah tentu mereka tidak mahu menggunakan simpanan yang boleh memudahkan kehidupan selepas bersara.

Luahan betapa sukarnya melalui kehidupan ketika ini boleh disorot melalu laman Facebook ‘KWSP Pengeluaran RM10,000 One-Off’ dan ‘Pengeluaran KWSP 10K one off – luahan hati rakyat’.

Pengikut laman ini sangat berharap agar Kerajaan membenarkan pengeluaran simpanan mereka untuk kelangsungan hidup hari ini.

Kebanyakan mereka terdiri daripada kumpulan yang hilang pekerjaan, gaji dipotong, mendapat kerja baharu tetapi dengan gaji yang rendah berbanding pendapatan sebelum ini.

Ada peniaga yang memerlukan wang tersebut sebagai tambahan modal perniagaan. Ada yang memerlukan wang berkenaan bagi melunaskan hutang-hutang yang tertunggak.

“Saya pun sangat-sangat memerlukan duit. Masa PKP dua kali kena berhenti kerja. Sekarang kerja baru dapat gaji permulaan yang beza 70 peratus dari gaji dulu. Nak bayar kereta RM600, sewa bilik RM500, tol dan minyak RM300, hutang dengan member, duit mak abah. Tau-tau duit baki sebulan untuk makan cuma RM100 hidup di KL,” luah Mia Aulia.

“Baru dua bulan start balik bisnes, modal dah banyak keluar RM20,000. Covid lepas raya Cina, aduh. Takkan nak buat pinjaman lagi tambah hutang. RM10,000 one-off susah sangat ke nak luluskan. Makin susah hidup sekarang ini,” kata Mimi Rasaniyah.

Bagi mereka wang KWSP itu lebih bermakna untuk menyelamatkan kehidupan mereka yang sukar ketika ini berbanding simpanan hari tua yang entahkan panjang umur ataupun tidak.-MalaysiaGazette.