Home Dunia Dakwaan Rusia undur askar palsu, kata AS

Dakwaan Rusia undur askar palsu, kata AS

Rusia mula memindahkan tentera dan kelengkapan dari sempadan Ukraine. foto Kementerian Pertahanan Rusia/EPA

WASHINGTON – Dakwaan Rusia bahawa ia sudah mengundurkan tentera dari sempadan Ukraine adalah palsu.

Sebaliknya, 7,000 tentera tambahan telah tiba dalam beberapa hari kebelakangan ini, kata Pegawai Amerika Syarikat (AS).

Pegawai itu juga berkata, Rusia boleh melancarkan alasan “palsu” untuk menyerang Ukraine “pada bila-bila masa”.

Semalam, Moscow berkata, negara itu telah mengundurkan tentera dari sempadan Ukraine selepas selesai latihan ketenteraan.

Tetapi Barat berkata, mereka tidak melihat bukti untuk menyokong dakwaan itu.

“Rusia mesti mengambil langkah mengurangkan ketegangan sehingga mencetuskan konflik,” kata Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden dan Canselor Jerman, Olaf Scholz.

Kedua-dua pemimpin itu bersepakat selepas membuat panggilan telefon pada hari Rabu, menurut Canselori Jerman.

Rusia bagaimanapun berulang kali menafikan rancangan untuk menyerang Ukraine.

Tetapi Moscow telah mengerah lebih 100,000 tentera berhampiran sempadan.

Bahkan, Rusia menyifatkan kebimbangan Barat terhadap pencerobohan sebagai “histeria”.

Kementerian Pertahanan Moscow telah menerbitkan imej yangmenunjukkan tentera dan peralatan kembali ke pangkalan tetap mereka selepas latihan ketenteraan.

Tetapi menurut seorang pegawai kanan White House, beribu-ribu lagi tentera telah tiba di kawasan itu dalam beberapa hari kebelakangan ini – termasuk pada hari Rabu.

“Mereka menerima banyak perhatian untuk dakwaan itu, di sini dan di seluruh dunia. Tetapi kini kami tahu ia adalah palsu,” katanya. BBC (https://www.bbc.com/news/world-europe-60407010)