KUALA LUMPUR – Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) menumpukan peningkatan produktiviti sebanyak 3.6 peratus setahun bagi menyumbang kepada kestabilan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.
Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman yakin strategi agresif berterusan yang dijalankan dalam meningkatkan produktiviti itu bertepatan dengan situasi ekonomi negara kini yang menuju ke arah pemulihan berdasarkan pembukaan semula lebih 90 peratus sektor ekonomi serta aktiviti sosial.
”Pelbagai stategi digariskan oleh MPC dalam merealisasikan sasaran peningkatan produktiviti, antaranya inisiatif dalam menghasilkan bakat masa hadapan yang menyasarkan 10,000 peningkatan kemahiran baharu pekerja sektor swasta dan awam.
”Selain itu, MPC turut memperkasa industri dalam melaksanakan program peningkatan produktiviti negara melalui platform Nexus Produktiviti.
”MPC juga memberi tumpuan kepada pengembangan teknologi dan digitalisasi yang mana usaha ini sejajar dengan inisiatif di bawah Dasar Negara Mengenai Industry4WRD yang diterajui oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI),” katanya.
Tambahnya, MPC juga mensasarkan sebanyak 260 syarikat menerima kelulusan Readiness Assessment (RA) pada tahun ini. Peranan MITI bersama MPC dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) mampu merealisasikan agenda transformasi industri dengan menjadikan teknologi dan digitalisasi sebagai pemboleh ubah strategik untuk memacu produktiviti negara.
Beliau berkata, bengkel digital MPC melalui Myreskill IOT yang disediakan kepada pekerja yang telah diberhentikan terutama di organisasi swasta turut meningkatkan pertumbuhan produktiviti dan ekonomi.
Dalam pada itu, kolaborasi bersama sektor awam dan swasta akan terus diperkukuhkan dalam melaksanakan inisiatif yang dirancang dalam pelan tindakan produktiviti di bawah Malaysia Productivity Blueprint (MPB) sejak tahun 2018, terutamanya untuk sebelas sub-sektor utama yang diterajui oleh Nexus Produktiviti. – MalaysiaGazette