Home Ekonomi BIMB unjur pertumbuhan 7% pembiayaan peribadi

BIMB unjur pertumbuhan 7% pembiayaan peribadi

(dari kiri) Zainuddin Kisman, Naib Presiden, MSOSH; Daman Huri bin Mohammad @ Mohammad Khairuddin, Setiausaha Kehormat, MSOSH; Siti Rohana Hj Mohamed Amin, Pengarah Eksekutif, Keahlian, MIA; Mohd Muazzam Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, BIMB; Mizan Masram, Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan-Runcit, BIMB; Ar. Thirilogachandran a/l Shanmugasundram, Setiausaha Kehormat, PAM and Datuk Ar. Ezumi Harzani Ismail, Presiden, PAM.

KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) mensasarkan pembiayaan peribadi berkembang sebanyak 7.0 peratus dalam tempoh 12 bulan akan datang dengan termeterai memorandum persefahaman (MoU) dan kolaborasi strategik bersama tiga pertubuhan profesional negara.

Kerjasama imi bagi menyediakan penyelesaian perbankan patuh Syariah yang lengkap kepada ahli-ahli pertubuhan berkenaan.

Pertubuhan professional terlibat dalam usaha sama ini adalah Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM), Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH), dan Institut Akauntan Malaysia (MIA).

Secara kumulatifnya, kini terdapat seramai 44,500 ahli yang berdaftar di bawah pertubuhan-pertubuhan tersebut.

Menerusi kerjasama ini, BIMB akan menawarkan penyelesaian kewangan menyeluruh yang memenuhi segenap keperluan ahli pertubuhan terbabit.

Ia merangkumi kemudahan Pembiayaan Peribadi-i BIMB yang melibatkan amaun maksimum RM300,000 untuk tempoh pembiayaan sehingga 10 tahun pada kadar kompetitif, produk deposit serta pengurusan kekayaan dan tunai.

Selain itu, BIMB juga menawarkan produk-produk perbankan untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi mempermudahkan ahli-ahli pertubuhan terbabit membuka perniagaan persendirian yang berkaitan seperti syarikat perkhidmatan perakaunan dan perundingan serta syarikat berkaitan pembinaan.

Penawaran khusus oleh BIMB ini secara tidak langsung akan menyumbang kepada peningkatan bilangan ahli berdaftar, selain membolehkan persatuan terlibat
mempertingkatkan lagi kelebihan dan keistimewaan keahliaannya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BIMB, Mohd Muazzam Mohamed berkata, BIMB percaya semua pihak memainkan peranan penting dalam menyokong pemulihan negara yang mampan, sekali gus merapatkan jurang ekonomi yang terhasil ekoran pandemik yang melanda.

”Covid-19 telah mengajar kita bahawa sistem sokongan yang betul adalah kunci kejayaan dalam menangani sebarang cabaran. Oleh itu, kami amat berbesar hati dengan pemeteraian MoU dan jalinan kerjasama strategik hari ini yang dapat meningkatkan usaha sama semua pihak terlibat dan seterusnya berupaya memberi manfaat lebih besar kepada industri profesional dan ahli-ahlinya,” kata beliau.

Pemeteraian MoU dan kerjasama strategik kali ini adalah lanjutan usaha BIMB dalam memperkukuhkan lagi perniagaannya dengan menawarkan produk dan perkhidmatan yang mengkhusus kepada segmen tertentu, sekali gus menyumbang kepada pengukuhan daya tahan industri serta ekonomi negara dalam mendepani landskap semasa yang mencabar.

Pada September 2020, BIMB telah menandatangani MoU dengan beberapa pertubuhan profesional dalam sektor kesihatan. Usaha sama tersebut melibatkan Persatuan Perubatan Malaysia, Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia, Persatuan Farmasi Malaysia, Persatuan Optomerist Malaysia , Persatuan Pengamal Pergigian Swasta Malaysia dan Persatuan Veterinari Malaysia
.
Hasil daripada MoU tersebut, BIMB telah mencatat sejumlah 8,873 pelanggan profesional kesihatan dengan amaun pembiayaan peribadi terkumpul bernilai kira-kira RM796 juta setakat Disember 2021. – MalaysiaGazette