Home Ekonomi Produktiviti buruh pada suku keempat positif

Produktiviti buruh pada suku keempat positif

KUALA LUMPUR – Prestasi produktiviti buruh per pekerja bagi tahun 2021 naik 1.8 peratus (2020: -5.5%) dengan merekodkan nilai ditambah per pekerja sebanyak RM90,647 per pekerja (2020: RM89,022 per pekerja).

Sementara itu, nilai ditambah per jam bekerja jatuh 2.6 peratus (2020: 3.4%) dengan nilai RM41.0 per jam (2020: RM42.0 per jam) berbanding dengan tempoh sebelum pandemik, nilai produktiviti buruh per jam bekerja telah melebihi 2019 (RM40.7 per jam) manakala produktiviti buruh per pekerja kekal rendah (2019: RM94,162 per pekerja).

Sektor pembuatan merupakan satu-satunya yang telah melepasi nilai sebelum pandemik manakala lain-lain sektor masih rendah.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, produktiviti buruh Malaysia yang diukur sebagai nilai ditambah per pekerja meningkat 1.7 peratus pada ST4 2021 (ST3 2021: -5.6%) disebabkan oleh pengeluaran barangan dan perkhidmatan meningkat lebih laju berbanding kadar pertumbuhan pekerja.

Pada suku ini, ekonomi Malaysia melonjak 3.6 peratus (ST3 2021: -4.5%) manakala pekerja meningkat 1.8 peratus (ST3 2021: 1.2%) berikutan pengoperasian semula lebih banyak sektor ekonomi selaras dengan peralihan kepada Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara pada tempoh berkenaan.

Nilai ditambah per pekerja pada suku ini adalah sebanyak RM24,006 per pekerja (ST4 2020: RM23,603 per pekerja; ST3 2021: RM21,983 per pekerja).

Mengulas mengenai prestasi produktiviti buruh yang diukur mengikut nilai ditambah per jam bekerja, beliau berkata, waktu operasi perniagaan adalah lebih panjang pada suku ini, sekali gus ditunjukkan melalui peningkatan jumlah jam bekerja kepada 2.3 peratus (ST3 2021: -3.9%) bagi merekodkan 8.8 bilion jam.

Oleh itu, produktiviti buruh yang diukur mengikut nilai ditambah per jam bekerja turut mencatatkan peningkatan dengan pertumbuhan 1.3 peratus selepas merekodkan penurunan marginal 0.6 peratus pada suku tahun sebelumnya.

Nilai ditambah per jam bekerja pada suku ini berjumlah RM42.2 per jam (ST4 2020: RM41.7 per jam; ST3 2021: RM40.9 per jam).”

Dari segi nilai ditambah per pekerja mengikut sektor ekonomi, tiga sektor merekodkan pertumbuhan positif pada suku ini iaitu sektor pembuatan, pertanian dan perkhidmatan sementara perlombongan & pengkuarian dan pembinaan kekal merosot.

Pada suku ini, sektor pembuatan mencatatkan pertumbuhan tertinggi produktiviti buruh sebanyak 5.3 peratus (ST3 2021: -3.5%) dengan semua subsektor merekodkan peningkatan kecuali produk tekstil, pakaian & kulit (-2.1%).

Sementara itu, produktiviti buruh sektor pertanian naik 2.9 peratus berbanding negatif 2.6 peratus pada ST3 2021.

Produktiviti buruh sektor perkhidmatan naik 1.0 peratus (ST3 2021: -6.2%) dengan kadar pertumbuhan tertinggi dicatatkan oleh pengangkutan & penyimpanan (12.1%), diikuti oleh maklumat & komunikasi (4.9%) dan utiliti (4.8%).

Bagi sektor pembinaan, produktiviti buruh merosot dengan negatif yang lebih kecil 11.2 peratus (ST3 2021: -18.8%) manakala perlombongan & pengkuarian merosot 10.7 peratus (ST3 2021: -1.3%).

Sementara itu, pertumbuhan tertinggi produktiviti buruh mengikut nilai ditambah per jam bekerja direkodkan oleh sektor pembuatan pada 4.6 peratus disokong oleh pertumbuhan kukuh subsektor produk elektrik, elektronik & optikal (9.8%) dan minuman & produk tembakau (8.6%).

Produktiviti buruh sektor pertanian melonjak kepada 1.7 peratus berbanding pertumbuhan negatif 3.4 peratus pada suku tahun sebelumnya.

Begitu juga dengan sektor perkhidmatan yang meningkat marginal 0.7 peratus (ST3 2021: -1.8%) dengan semua subsektor merekodkan peningkatan kecuali
perdagangan borong & runcit dan hartanah & perkhidmatan perniagaan yang masing-masing jatuh 1.3 peratus dan 5.3 peratus.

Sektor pembinaan mengalami kejatuhan terbesar iaitu 11.0 peratus (ST3 2021: -5.7%) manakala sektor perlombongan & pengkuarian merosot 9.3 peratus (ST3 2021: 4.1%). – MalaysiaGazette