Home Politik Pengundi bukan Melayu sokong PN kerana trek rekod Muhyiddin – Azmin

Pengundi bukan Melayu sokong PN kerana trek rekod Muhyiddin – Azmin

Mohamed Azmin Ali melancarkan Bicara Memperkasa Ekonomi Bersama Pemain Industri dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Goodhope Hotel, Skudai,petang tadi.

JOHOR BAHRU – Kerjasama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas tidak akan menjejaskan peluang Perikatan Nasional (PN) untuk menarik undi bukan Melayu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ini kerana, pada pengundi hanya mahukan kepimpinan yang bersih dan bukan kleptokrat.

“Mereka bersedia untuk mendukung Kerajaan PN yang juga dianggotai Pas untuk meneruskan usaha-usaha membantu rakyat dan mencergaskan ekonomi negara,” kata Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata demikian pada sidang akhbar selepas program Bicara Memperkasa Ekonomi Bersama Pemain Industri dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Goodhope Hotel, Skudai, petang tadi.

Mohamed Azmin yakin golongan bukan Melayu akan menyokong PN berdasarkan rekod cemerlang gabungan itu semasa menjadi kerajaan terutama semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri.

Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu berkata, kejayaan Muhyiddin menerajui PN apabila beliau dapat mengurus serta membendung jangkitan Covid-19.

Muhyiddin juga menawarkan lebih banyak peluang perniagaan berdasarkan dasar-dasar kerajaan yang progresif.

“Ini telah dilakukan Tan Sri Muhyiddin dan PN, bukan sahaja dengan dasar yang cukup proaktif dan mesra perniagaan tetapi pakej rangsangan yang kita perkenal berjumlah lapan semuanya banyak membantu aliran tunai perusahaan kecil dan sederhana dan untuk meneruskan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata, golongan peniaga sangat menghargai dasar-dasar itu kerana ia cukup proaktif dan menyatakan kesediaan menyokong PN untuk meneruskan usaha memulihkan ekonomi dan menjamin kestabilan negara.

Mohamed Azmin berkata, bukti pencapaian PN itu juga boleh dilihat menerusi jumlah pelaburan tinggi yang diterima negara dan perkembangan industri serta perniagaan yang semakin baik.- MalaysiaGazette