KUALA LUMPUR – Permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sedang berdepan saman sivil SRC International Sdn Bhd membabitkan nilai AS$1.8 bilion akan di putuskan Mahkamah Tinggi pada 23 Februari ini.
Saman itu yang dikenakan terhadap Najib atas dakwaan salah laku pecah amanah jenayah dan melanggar kewajipan statutori berhubung pinjaman RM4 bilion Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan)(KWAP) kepada SRC.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin akan menyampaikan keputusan permohonan oleh Najib yang mahu saman itu digantung sehingga selesai kes penyewelengan dana RM42 juta milik SRC yang kini sudah berada di peringkat Mahkamah Persekutuan.
Selain itu terdapat tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta dana SRC di Mahkamah Tinggi di sini.
Tahun lalu, SRC telah mengambil tindakan perundangan terhadap Najib serta beberapa bekas Pengarah termasuklah Datuk Suboh Md Yassin, Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Nik Faisal Ariff Kamil dan Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Tan Sri Ismee Ismail.
Namun selang beberapa lama selepas itu, SRC bertindak menggugurkan beberapa nama dengan antara mereka menjadi saksi pendakwaan dalam kes yang sedang dibicarakan terhadap Najib.
SRC dengan pengurusan baharu telah mendakwa Najib yang ketika itu adalah Penasihat Emiratus telah menyalahgunakan kuasa serta mendapat manfaat peribadi dan juga telah menyeleweng dana syarikat itu. -MalaysiaGazette