KUALA LUMPUR – Program MyReskill IoT (Internet of Things) dapat meningkatkan keupayaan syarikat berpotensi tinggi dalam syarikat aerongkasa dengan aplikasi teknologi yang lebih tinggi selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional (DKN 2020-2030) serta Malaysian Aerospace Blueprint 2030.
Program yang dibangunkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bertemakan “Meningkatkan Produktiviti Melalui Pendigitalan’ merupakan pakej bimbingan percuma yang merangkumi latihan atas talian.
Menurut ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, kemudahan teknologi dalam pelbagai sektor ekonomi dijangka menyumbang kepada peningkatan signifikan kepada produktiviti dan mewujudkan
peluang pekerjaan dalam satu-satu industri.
Tambah beliau, program MyReskill akan menyokong peningkatan kemahiran tenaga kerja untuk memenuhi keperluan semasa dan masa hadapan industri, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lagi pun, menurut Abdul Latif, ia juga mampu meluaskan penglibatan syarikat aeroangkasa di dalam rantaian bekalan aeroangkasa di peringkat global.
Jelas beliau bahawa, program ini berfungsi sebagai asas kepada syarikat aeroangkasa untuk menerima Internet Perkara (IoT) dalam mentransformasikan perniagaan, meneroka sempadan baharu dalam landskap ekonomi digital yang semakin mencabar terutamanya selepas pandemik.
Sementara itu melalui Program MyReskill IoT, perniagaan dapat meningkatkan inisiatif strategik mereka terutamanya dalam meningkatkan produktiviti dan mengurus kos secara lebih efektif.- MalaysiaGazette