Home Politik Kelayakan akademik bukan faktor utama calon PN – Muhyiddin

Kelayakan akademik bukan faktor utama calon PN – Muhyiddin

Muhyiddin Yassin (tengah) menjawab beberapa persoalan dilontarkan wakil NGO dalam program sarapan pagi yang diadakan di Bandar Baru Uda, Johor Bahru, hari ini.
JOHOR BAHRU – Kelayakan akademik bukan faktor utama melayakkan seseorang individu itu dipilih sebagai calon Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kriteria lain yang juga perlu dipertimbangkan termasuklah pengalaman dan kemahiran.

“Ada kes di mana calon ada kelayakan akademik sampai peringkat universiti dan sebagainya tetapi ada juga calon miliki pengalaman dan rekod kedudukan serta jawatan.

“Jadi kita ambil kira semuanya tetapi walau apa pun, kelayakan akademik memang antara salah satu syarat yang dipertimbangkan tetapi bukan satu-satunya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan salah seorang wakil pertubuhan bukan kerajaan yang hadir dalam program sarapan pagi di Bandar Baru Uda di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga merupakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut memaklumkan PN akan memuktamadkan senarai nama calon yang bakal bertanding dalam PRN Johor hari ini.

“Soal senarai nama calon hari ini selesai, tiada sebarang masalah untuk kita bekerjasama kerana PN ada tiga parti sahaja untuk berbincang iaitu Bersatu, Pas dan juga Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan),” katanya.

Semalam, Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai dilaporkan berkata, PN bakal mengumumkan senarai calon mereka dalam PRN ini pada 23 Februari ini iaitu tiga hari sebelum tarikh penamaan calon.

Suruhanjaya Pilihan Raya turut telah menetapkan tarikh 8 Mac sebagainya tarikh mengundi awal manakala 12 Mac sebagai hari mengundi bagi PRN Johor ini.- MalaysiaGazette