Home Nasional Pantau premis luar bandar pastikan bekalan keperluan asas mencukupi – Rosol

Pantau premis luar bandar pastikan bekalan keperluan asas mencukupi – Rosol

Rosol Wahid membuat tinjauan keperluan barangan kepeperluan di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melakukan penguatkuasaan dan pemeriksaan terhadap 21,058 premis luar bandar di seluruh negara bagi memastikan bekalan keperluan asas mencukupi.

Timbalan menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, pemeriksaan dilakukan di kedai runcit, pasar pagi, pasar awam, pasar malam, pasar raya, pemborong, pekilang, kedai makan serta kedai serbaneka.

Datuk Rosol Wahid

Jelasnya, penguatkuasaan penting bagi memastikan masyarakat luar bandar juga mudah mendapatkan bekalan terutama barang keperluan asas seperti gula, tepung gandum, minyak masak, gas memasak (LPG) dan sebagainya pada harga yang munasabah.

“Sehingga 17 Februari 2022, sebanyak 112,879 pemeriksaan telah direkodkan di seluruh Negara dan daripadanya, sebanyak 21,058 premis bersamaan 19 peratus kawasan luar bandar.

“Jarak perjalanan yang jauh, keadaan geografi dan akses untuk memasuki kawasan luar bandar tertentu yang sukar antara faktor yang menyebabkan bekalan keperluan asas di kawasan luar bandar ini kadangkala mengalami gangguan bekalan serta harganya agak mahal sedikit,” katanya ketika ditemui semasa lawatan di BS Freshmart Bukit Goh hari ini.

Selain itu, menurut Rosol, ia juga termasuk menangani isu-isu berkaitan harga, tanda harga, alat timbang dan sukat, halal, barang tiruan dan skim piramid yang juga turut berlaku di kawasan luar bandar.

Justeru pihak KPNHEP menggalakkan masyarakat termasuk di kawasan luar bandar menyalurkan maklumat dan aduan sekiranya berlaku gangguan bekalan keperluan asas di kawasan mereka WhatsApp 019-279 4317. – MalaysiaGazette