Home Nasional HRD Corp komited program teknologi berevolusi – Shahul

HRD Corp komited program teknologi berevolusi – Shahul

Datuk Shahul Dawood

KUALA LUMPUR – Semua program modal insan yang disediakan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp)  dirangka khas mendepani landskap tenaga ketika ini.

Malah kursus upskilling (peningkatan kemahiran) dan reskilling (latihan semula) juga menjadi antara fokus perbadanan itu demi memastikan setiap golongan sasaran mendapat manfaat.

Itu antara jaminan Ketua Eksekutif, Datuk Shahul Dawood yang menegaskan HRD Corp sentiasa peka dengan kehendak dan keperluan bukan sahaja ketika ini tetapi juga pada masa hadapan.

Jelas beliau, golongan sasaran yang didekati oleh mereka bukan hanya sekumpulan kecil sahaja sebaliknya hampir segenap masyarakat dalam setiap agenda dan aspirasi pihaknya.

“Contohnya dengan inisiatif Jamin Kerja yang mana HRD Corp dekati golongan lepasan sekolah, para graduan, belia, suri rumah, warga emas, orang kelainan upaya (OKU) bagi sentiasa bantu mereka tingkatkan kemahiran modal insan dengan memperoleh pekerjaan lebih baik.

“Semua perlu ingat, isu yang sedang hantui kita iaitu kekurangan kemahiran atau jurang kemahiran itu bukannya berlaku sekarang sebaliknya sudah dirasai sejak dulu lagi malah bukan negara ini sebaliknya dunia.

“Lanskap tenaga perlu sentiasa berevolusi, jadi HRD Corp fokus pekerjaan berkaitan IoT dan IR4.0 (Revolusi Industri 4.0). Bila muncul teknologi versi baharu, cara teknologi sentiasa berevolusi tetapi asas teknologi sama cuma kena adaptasi dengan kepantasan teknologi berevolusi,” katanya baru-baru ini.

Sambung Shahul, pihaknya mengambil peluang ini untuk terus mereka kursus yang bukan sahaja kemahiran pada masa kini sebaliknya pada masa hadapan.

Antaranya, analisis data raya, keselamatan siber, kecerdasan buatan (AI), data sains, pengkomputeran awam.

Shahul mendedahkan, teknologi dari hari ke hari semakin mendominasi sektor tenaga kerja sehingga menyebabkan HRD Corp mahu terus memastikan program kemahiran yang ditawarkan itu relevan.

Untuk makluman, program peningkatan kemahiran adalah satu daripada tiga komponen menerusi Upskill Malaysia di bawah HRD Corp menerusi peruntukan RM1.1 bilion yang digariskan dalam inisiatif Jamin Kerja dengan sasaran 220,000 peluang pekerjaan.

Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia yang akan dilancarkan pada 19 Februari ini oleh Perdana Menteri adalah kesinambungan usaha ke arah merancakkan semula pasaran kerja dan membantu melancarkan pemulihan ekonomi negara.

Program JaminKerja membabitkan peruntukan RM4.8 bilion dengan jangkaan mewujudkan 600,000 peluang pekerjaan.

JaminKerja adalah kerjasama antara Kementerian Kewangan (MoF) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM), HRD Corp serta agensi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Ia membabitkan tiga komponen utama iaitu Insentif Penggajian JaminKerja, Malaysia Shortterm Employment Programme serta Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran.

Untuk karnival kerjaya ini, ia disertai 50 majikan dan menawarkan lebih 12,000 pekerjaan merentasi pelbagai sektor.

Selain hadir secara fizikal, orang awam juga boleh membuat permohonan secara dalam talian melalui laman web https://budget.mof.gov.my/manfaat/. – MalaysiaGazette