Home Nasional PRN Johor: Pelaksanaan laluan khas Malaysia-Singapura bergantung kepada keputusan SPR, KKM

PRN Johor: Pelaksanaan laluan khas Malaysia-Singapura bergantung kepada keputusan SPR, KKM

Ismail sabri
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

ISKANDAR PUTERI – Cadangan untuk menyediakan laluan khas Malaysia-Singapura bagi membolehkan rakyat yang bekerja di negara jiran pulang mengundi pada Pilihanraya Umum Dewan Negeri (PRN) bergantung kepada keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selain itu ia memerlukan kebenaran daripada kerajaan Singapura.

“Kalau ikutkan kita, secara demokrasinya, setiap rakyat berhak untuk mengundi, tapi kalau pintu ditutup kerana alasan kesihatan dan Singapura ada peraturan tertentu yang menyukarkan rakyat untuk balik, maka kita juga harus patuh kepada Singapura juga.

“Kita juga akan berbincang dengan Kementerian Kesihatannya. Kita mahu rakyat kita bebas untuk balik tetapi mereka berada di Singapura, jadi kita memang kena patuh undang-undang di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai undi penduduk Malaysia yang berada di Singapura selepas merasmikan Program Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai  cadangan pembukaan semula pintu sempadan oleh Majlis Pemulihan Negara (MPN), Ismail Sabri menjelaskan, ia sedang dibincangkan sebelum dibentangkan kepada Kabinet dalam jangka masa dua atau tiga minggu lagi.

Perbincangan akan meliputi aspek kesihatan rakyat dan soal pemulihan ekonomi, tambah beliau.

“Jangan lupa masih ramai mahu kerajaan buat intervensi dalam perkara ni terutama dalam melibatkan SOP.

“Tetapi ia juga perlu diperketat kerana takut jangkitan. Itu dalam negara yang kita kawal, bagaimana dari negara luar yang kita tak tahu kawalan di negara mereka,” ujarnya sambil menambah perkara itu menjadi kebimbangan segelintir masyarakat negara ini.

Tambah beliau, keputusan sama ada mahu membuka terus pintu sempadan atau masih melaksanakan sekatan tertentu bergantung kepada penilaian yang perlu dibuat.

Beliau berkata, kerajaan perlu membuat pertimbangan yang seimbang selain mendapat persetujuan Singapura mengenai perkara itu.

“Pelbagai pandangan diberikan (mengenai sempadan). Ada yang kata kita boleh buka (sempadan) kerana macam saya kata sebelum ini kita perlu mendidik rakyat untuk hidup bersama Covid-19.

“Cuma tak semua orang berani menerima hakikat dan minta kerajaan kawal pergerakan dan sebagainya, sebab itu perlu ada pertimbangan yang seimbang,” katanya. – MalaysiaGazette