Home Nasional Bank Islam Malaysia Berhad – Menyokong Kelangsungan Hidup Masyarakat

Bank Islam Malaysia Berhad – Menyokong Kelangsungan Hidup Masyarakat

Apabila Puan Ayuni Hazwani Abd Hamid, memulakan perniagaan menternak dan membekalkan daging arnab di Kulim, Kedah pada tahun 2020, beliau berpegang pada satu matlamat iaitu untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya dan seterusnya menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi setempat.

Berkat usaha dan kecekalan Ayuni Hazwani, Sweetfish Enterprise yang dimulakan di tanah seluas satu hektar di belakang rumahnya dengan hanya menternak lima ekor arnab jenis New Zealand White telah berkembang maju sehingga kini mempunyai 100 ekor pelbagai spesies arnab lain.

“Namun demikian, apabila COVID-19 melanda dan berkuat kuasanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Mac 2020, segalanya berubah dengan pantas. Jika sebelum ini saya mampu menjual 50 ekor arnab atau daging arnab sebulan, angka itu berkurang kepada 15 ekor semasa PKP,” katanya.

Ternyata COVID-19 bukan sahaja telah mengancam nyawa dan kesihatan masyarakat, malah menggugat kelangsungan perniagaan dan memberi kesan jangka panjang kepada sektor ekonomi. Sedar akan cabaran ini, Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) telah mengambil langkah proaktif untuk memacu agenda kewangan sosial Islam dengan mewujudkan pelbagai penyelesaian kewangan bagi membantu golongan yang terkesan serta golongan yang kurang atau tidak mendapat akses perbankan bagi membantu mereka menjana pendapatan mampan setelah kehilangan pekerjaan atau sumber pendapatan susulan pandemik yang melanda.

Ahli Lembaga Pengarah BIMB, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff.

Ahli Lembaga Pengarah BIMB, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff, berkata “Pelbagai cabaran yang dilalui sejak COVID-19 melanda telah mengajar kita untuk sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan. Ia juga telah mengubah bagaimana bank beroperasi dan kini lebih prihatin dalam menyediakan penyelesaian kewangan yang benar-benar memenuhi keperluan semasa pelanggan, khasnya golongan rentan dan yang kurang atau tidak mendapat perkhidmatan perbankan.”

Beliau menambah, “Walaupun sektor ekonomi telah kembali beroperasi, pelanggan dan golongan terjejas memerlukan masa untuk mengukuhkan kembali keadaan ekonomi masing-masing. Kumpulan BIMB mengambil pendekatan proaktif untuk memperluaskan lagi liputan penyelesaian kewangan kami agar dapat memberi sokongan yang diperlukan pelanggan dan komuniti. Selain berkongsi rezeki, kami komited memberi perkhidmatan yang terbaik yang seiring dengan slogan kami – Amanah Terjamin. Nilai Terhasil.”

Peserta Program Pembiayaan Mikro BangKIT Bank Islam di bawah projek Pembangunan Usahawan Estet Padi Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) bergambar pada satu majlis yang diadakan di Gurun, Kedah baru-baru ini.

Menerusi program pembiayaan mikro BangKIT (BangKIT) BIMB, impian Puan Ayuni Hazwani untuk terus berjaya dalam perniagaan beliau tidak lagi mustahil kerana beliau merupakan salah seorang daripada lebih 100 peserta yang terpilih untuk menerima pembiayaan inovatif ini. Dengan menanfaatkan instrumen sedekah, peserta BangKIT menerima pembiayaan tanpa sebarang caj keuntungan berlandaskan konsep Qardul Hassan, serta sokongan dan latihan perniagaan untuk membantu mereka berjaya.

Tambah Puan Ayuni Hazwani, “Pelbagai cabaran saya hadapi, tetapi saya tidak mahu berputus asa. Saya masih mengejar matlamat yang ditetapkan. Alhamdullilah, BIMB menyediakan kemudahan dan sokongan yang amat diperlukan bagi peniaga kecil seperti saya agar usaha ini dapat terus bertahan walaupun keadaan ekonomi tidak menentu.”

Setakat ini pembiayaan mikro BangKIT telah membantu lebih 100 pelanggan dengan jumlah pembiayaan yang diluluskan melebihi RM2 juta. Selain BangKIT, BIMB juga menawarkan pembiayaan mikro iTEKAD yang menawarkan kemudahan pembiayaan mikro pada kadar berpatutan kepada pemohon yang layak. Setakat ini iTEKAD telah membantu 106 pelanggan mendepani cabaran COVID-19 dengan jumlah pembiayaan yang disalurkan melebihi RM2 juta.

BIMB percaya bahawa peningkatan kemampuan dan daya tahan perniagaan mikro bukan sahaja bergantung pada suntikan dana yang disediakan. Ia memerlukan pendekatan lebih menyeluruh termasuk penyediaan latihan keusahawanan dan pengurusan kewangan kepada peserta-peserta program. Malah, BIMB berhasrat untuk meluaskan lagi impak pembiayaan, bukan sekadar memfokus kepada pembayaran balik pembiayaan, tetapi turut memberi perhatian kepada memenuhi petunjuk transformasi peserta program.

Menyediakan penyelesaian sosioekonomi

Sejak penubuhannya pada 1983, BIMB menawarkan produk inovatif dan perkhidmatan kewangan Islam serta memanfaatkan instrumen kewangan sosial Islam seperti zakat, wakaf dan sedekah demi kemampanan ekonomi setempat. Ia selaras dengan prinsip asas perbankan Islam yang memberi tumpuan bukan hanya kepada kepada aspek keperluan kewangan tetapi turut mengambil kira kesan transaksi terlibat kepada kesejahteraan masyarakat.

Oleh itu, BIMB telah memperkenalkan Sadaqa House pada tahun 2018. Ia merupakan satu inisiatif kewangan sosial dan platform pendanaan awam Islam yang menggabungkan kemudahan teknologi dengan penyelesaian patuh Syariah. Platform signature ini berperanan sebagai perantara antara penyumbang, pembuat perubahan yang dipilih dan penerima bagi menghasilkan impak positif pada kehidupan golongan sasar khususnya dalam bidang penjagaan kesihatan, pendidikan, pemerkasaan komuniti dan alam sekitar.

Sadaqa House telah berjaya mengumpul dana bernilai sebanyak hampir RM8 juta setakat November 2021, yang mana kira-kira RM4.8 juta telah disalurkan kepada penerima yang terdiri daripada pelbagai usia, latar belakang dan pegangan agama melalui pelbagai projek dan inisiatif.

Sebagai sebuah institusi kewangan yang menerapkan amalan korporat terbaik, segala inisiatif dan proses dalaman Sadaqa House mematuhi garis panduan yang ditetapkan agar ketelusan, tadbir urus dan keberkesanan impak sumbangan dapat dicapai.

Sadaqa House turut menyumbang untuk memperkasakan usahawan mikro dalam kalangan asnaf dan individu B40 yang layak agar mencapai ketahanan kewangan, menjana pendapatan mampan dan menyumbang kepada komuniti.

Pencapaian inisiatif kewangan sosial BIMB

Peluasan instrumen kewangan sosial Islam dalam menyokong kemakmuran segenap lapisan masyarakat adalah salah satu tumpuan BIMB. Sokongan kepada inisiatif juga wakaf amat sinonim dengan Bank ini. Sejak tahun 2012, BIMB telah terlibat dalam beberapa projek wakaf untuk manfaat ummah. Antaranya, pembangunan projek Wakaf Seetee Aisah dan Wakaf Muhamad Hashim di Pulau Pinang. BIMB turut terlibat dalam projek Menara Imarah Wakaf untuk membina bangunan komersial dan menjadi penyewa utama. Menara yang dibina hasil kolaborasi strategik Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan-BIMB-Lembaga Tabung Haji itu kini menempatkan ibu pejabat BIMB yang dikenali sebagai Menara Bank Islam.

Pada tahun 2021, BIMB turut melancarkan Program Pembiayaan Awqaf Ummah dengan peruntukan RM200 juta untuk membiayai projek-projek wakaf dalam negara menerusi Pembiayaan Perniagaan-i, Kemudahan Aliran Tunai Perniagaan-i atau Jaminan Bank-i untuk jumlah sehingga 30% daripada kos pembangunan kasar. Selain itu, BIMB turut menyediakan Pembiayaan Rumah Al-Waqf-i bagi perolehan hartanah kediaman dan Pembiayaan Perniagaan Wakaf-i untuk hartanah komersial di atas tanah wakaf.

Model Pembiayaan Peribadi (Asnaf)-i, yang menggabungkan zakat dan pembiayaan BIMB serta diluluskan Bank Negara Malaysia, akan diperluaskan ke seluruh negara bagi membiayai pembinaan rumah asnaf bergaji, seperti guru KAFA. Kemudahan tersebut telah dimulakan di Kedah.

Memupuk pemerkasaan kewangan sosial

Matlamat jangka panjang BIMB bagi tempoh tiga tahun akan datang adalah meneruskan sokongan kepada perniagaan mikro yang diusahakan golongan rentan serta merangsang penglibatan umum dalam usaha-usaha mencapai kesejahteraan komuniti.

Usaha untuk mengubah sumber dana kewangan sosial daripada kebergantungan terhadap penderma kepada penerokaan pasaran modal juga akan diperkenalkan. Ia dilihat akan memperkukuhkan lagi penawaran Kumpulan BIMB setelah anak syarikat milik penuhnya, BIMB Investment Management Berhad, memperkenalkan Dana Makmur myWakaf (MWF) pada April 2021. Dana MWF sesuai untuk pelabur korporat dan juga individu-individu yang ingin menyalurkan sebahagian daripada pulangan pelaburan mereka untuk tujuan wakaf.

Salah satu komponen penting yang menyumbang ke arah kejayaan rangkuman kewangan BIMB ialah gabungan instrumen sedekah, wakaf dan zakat melalui kolaborasi-kolaborasi strategik dalam mewujudkan impak sosial berkesan demi manfaat individu kurang bernasib baik dan komuniti daripada pelbagai latar belakang.

Komitmen BIMB dalam memelihara kesejahteraan masyarakat diperakui apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan bagi Kewangan Sosial Islam di Majlis Anugerah Perbankan Islam Runcit ke-7 oleh Cambridge IFA. BIMB juga menerima pengiktirafan Anugerah Syarikat Tahunan bagi Sokongan Komuniti Terbaik di Majlis Anugerah Kelestarian & CSR Malaysia.

BIMB berhasrat untuk terus memperluaskan agenda kewangan sosial dan rangkuman kewangannya demi membentuk masyarakat Malaysia yang lebih mampan. -MalaysiaGazette