KUALA LUMPUR – Pembahagian kerusi untuk Parikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sudah diselesaikan, kata Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut beliau, perkara itu dimuktamadkan selepas tujuh hari rundingan diadakan.
“Rundingan kerusi bagi PN di PRN Johor sudah selesai, perbincangan dibuat selama seminggu sahaja. Kita tidak pernah gaduh sebab kita nak lihat satu iltizam yang bersunguh-sungguh.
“(Sebanyak) 56 kerusi semua parti ada calon, tidak ada masalah, senarai calon pun sudah sedia,” katanya dalam ucapan perasmian Perikatan Nasional (PN) Johor di Kota Tinggi, hari ini.
Turut hadir Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai bersama-sama Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ketua Penerangan PN dan juga Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Bagaimanapun, Muhyiddin tidak memperincikan pecahan kerusi bagi ketiga-tiga parti dalam PN iaitu Bersatu, Pas dan Gerakan.
Muhyiddin turut berkata, senarai calon itu akan dihantar ke polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Insolvensi untuk tujuan semakan status bankrap.
Sementara itu, beliau memberitahu, PN sudah mempunyai calon untuk diketengahkan sebagai calon Menteri Besar.
“Ada org tanya saya sapa nak jadi MB? Ramai tidak ada masalah.
“Sebahagian besar adalah terdiri daripada yang pengalaman dan akan diumumkan dalam beberapa hari akan datang.
“Ini bukti bahawa kita ada keupayaan dan pengalaman dan kemampuan untuk mentadbir urus negeri Johor yang lebih maju dan berjaya,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac depan sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor.
Hari penamaan calon ditetapkan pada 26 Februari, manakala tarikh mengundi awal pula pada 8 Mac.
Dalam perkembangan berkaitan, bekas Perdana Menteri itu berkata, PN tidak pernah menggugat kestabilan kerajaan negeri Johor yang merupakan sebahagian daripada kerajaan persekutuan ketika itu.
Malah katanya, PN turut menyokong pindaan Rang Undang-undang (RUU) Tubuh Negeri Johor, baru-baru ini.
“Apa perlu PRN? Kerana hanya ada satu undi lebih di mana saya ADUN Gambir, antara yang banyak 56 kerusi saya seorang daripadanya.
“Tidak pernah pun kita gugat kerajaan negeri Johor, baru-baru ini dibentangkan Rang Undang-undang (RUU) pinda Undang-undang Tubuh Negeri Johor.
“Kerajaan negeri perlu ada dua pertiga tapi di Johor kita tidak mempunyai dua pertiga, tidak ada keperluan dan DUN sudah bubar.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, PN adalah gabungan luar biasa untuk rakyat Johor yang mempunyai cita-cita dan azam yang besar buat rakyat negeri yang pernah dipimpin beliau.
Katanya, sekiranya dipilih di negeri Johor dan seterusnya di peringkat nasional, PN akan memfokuskan kepada pembangunan negeri berkenaan.
“Kita bawa satu bentuk kerajaan yang telus dan menolak segala bentuk salah guna kuasa dan menolak segala bentuk rasuah, saya tidak takut untuk menyatakan itu kerana kita tahu bahawa kita adalah pejuang yang menolak segala bentuk salah guna kuasa,” katanya. – MalaysiaGazette