JOHOR BAHRU – DAP mengumumkan dua lagi calon parti itu untuk bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac depan.
Kedua-dua mereka ialah Andrew Chen Kah Eng dan Liow Cai Tung, masing-masing penyandang bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang dan Johor Jaya.
Pengumuman itu dibuat Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam dua majlis berasingan di sini sekali gus menjadikan setakat ini enam calon dari DAP diumum bertanding pada PRN Johor.
Lim berkata pemilihan Chen bagi memberi peluang kepadanya untuk meneruskan khidmat di DUN Stulang manakala Liow merupakan seorang wanita muda yang bersemangat berkhidmat kepada rakyat.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Chen memenangi kerusi DUN Stulang dengan memperoleh majoriti 12,470 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Ang Boon Heng, sementara Liow menewaskan Tan Cher Puk (BN) dengan majoriti 15,565 undi.
DAP sebelum ini mengumumkan calon daripada parti itu yang akan bertanding atas tiket PH iaitu di kerusi DUN Tangkak, Paloh, Mengkibol dan Penggaram.
— BERNAMA