KUALA LUMPUR – Kerajaan akan membuat pertimbangan secara holistik berhubung pelaksanaan tuntutan kenaikan gaji minimum dari RM1,200 kepada RM1,500.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu penting dalam memastikan situasi ‘menang-menang’ wujud antara majikan dan pekerja.
Ini kerana terdapat majikan yang mampu untuk menaikkan paras gaji minimum dan ada yang tidak berkeupayaan untuk berbuat demikian.
“Ada syarikat kecil yang tak mampu (naikkan upah RM1,500 sebulan), kita takut kalau dia tak mampu nanti dia akan buang pekerja dia.
”Nanti akan tambahkan bilangan pengangguran,” katanya kepada media selepas melancarkan Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia dan Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), sebentar tadi.
Sebelum ini, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor berkata, sudah tiba masanya untuk kerajaan menyegerakan kenaikan gaji minimum berjumlah RM1,500 seperti dituntut golongan pekerja memandangkan sudah terlewat untuk merealisasikannya ketika negara sudah memasuki fasa tahun baharu 2022.
Jelas Ismail Sabri lagi, kerajaan telah meminta Kementerian Sumber Manusia (KSM) untuk mengadakan perbincangan dengan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan persatuan majikan lain.
“Jadi sebelum kita umumkan, biar ada penerimaan daripada majikan. Kita tidak melidungi majikan, kepentingan kita adalah pekerja.
“Kalau pekerja dapat dinaikkan gaji minimum kepada RM1,500 memang itu yang terbaik,” katanya lagi.
Ismail Sabri menambah, KSM juga sudah melaporkan kepada Kabinet berhubung perbincangannya mengenai perkara itu minggu lalu.
KSM mengadakan perbincangan itu terlebih dahulu dengan pihak berkaitan sebelum dibentangkan kepada Kabinet untuk kelulusan.
“Selepas itu, bentang dalam Kabinet untuk kita luluskan. Insya-Allah kita prihatin tentang kos sara hidup hari ini yang mungkin perlukan peningkatan.
“Bagaimanapun pelaksanaannya perlu mengambil kira tekanan perusahaan kecil dan sederhana, makro, sederhana dan sebagainya yang tak mampu (melaksanakan gaji minimum RM1,500).
“Akhirnya mereka buang pekerja kerana majikan tak mampu bayar gaji mereka.
“Jadi kita akan tengok pertimbangan keseluruhan, kepentingan pekerja dan dalam masa sama kita nak dengar pandangan daripada majikan juga,” katanya.
Sebelum ini, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) tekag menolak cadangan untuk menaikkan gaji minimum di Malaysia susulan ketidakstabilan ekonomi syarikat-syarikat yang beroperasi dalam negara.
Menurutnya, sebanyak 37,000 syarikat terpaksa gulung tikar akibat penularan wabak Covid-19 yang melanda negara. – MalaysiaGazette