KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan sindiket pengedaran minuman keras tidak bercukai dengan tertangkapnya lima individu menerusi dua serbuan berasingan di Sentul semalam.
Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Rizal Mohamed berkata, dalam serbuan pertama sekitar pukul 9 pagi hingga 2 petang, dua lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing ditahan bersama tiga buah kenderaan di bangunan Menara KLH 2.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat 110 kotak dan 344 karton minuman keras tidak bercukai membabitkan pelbagai jenama disembunyikan di dalam kenderaan dengan nilai anggaran RM82,068.
“Tangkapan kedua sekitar pukul 4 petang pula melibatkan sebuah premis di Jalan Kasipillay Off Jalan Ipoh dengan seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing berjaya ditahan.
“Pemeriksaan lanjut kemudiannya menemui sejumlah 32 karton dan 46 kotak minuman keras tidak bercukai dengan nilai anggaran RM21,788.
“Seterusnya, siasatan lanjut pihak polis telah membawa kepada sebuah premis di Jalan Pulasan di mana sebanyak 374 karton dan 583 kotak minuman keras ditemui dengan anggaran nilai RM276,156,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rizal berkata, keseluruhan rampasan yang dibuat melibatkan sebanyak 750 karton dan 739 kotak minuman keras tidak bercukai bernilai RM380,012.
Katanya lagi, tiga buah kenderaan turut dirampas bersama pelbagai jenis telefon bimbit dengan nilai rampasan secara keseluruhan berjumlah RM1.13 juta.
“Menerusi tangkapan dan rampasan ini kita berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran minuman keras tidak bercukai sekitar daerah Sentul.
“Kesemua tangkapan yang berusia lingkungan 30 hingga 58 tahun itu telah di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul bersama barang rampasan bagi tindakan lanjut di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1963,” ujarnya. – MalaysiaGazette