JOHOR BAHRU – PKR menganggap isu rundingan kerusi dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) sudah selesai dan mahu fokus kepada usaha memenangkan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bulan depan.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor Syed Ibrahim Syed Noh bagaimanapun berharap MUDA bersifat terbuka dan menumpukan perhatian kepada enam kerusi yang akan ditandingi parti itu pada PRN tersebut.
“Kita ada kerjasama, MUDA ada kerjasama dari segi kerusi dengan Pakatan Harapan (PH) melalui DAP dan Amanah (Parti Amanah Negara). Kita sebahagian daripada PH…jadi tak perlulah kata kalau kita tak boleh runding, maka kita akan langgar.
“Saya rasa itu sikap yang tidak betul…perlu ada sikap ‘gentleman understanding’,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman calon PKR Zon Tengah dan Zon Timur di Dewan Serbaguna Kampung Kopok Baru, Pasir Gudang, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman semalam bahawa rundingan rasmi antara kedua-dua parti tamat apabila PKR mengumumkan kesemua 20 calonnya.
Syed Saddiq juga seperti membayangkan kemungkinan berlaku pertindihan kerusi susulan gagal mencapai kata sepakat dengan PKR.
PKR hari ini selesai mengumumkan kesemua 20 calon mereka untuk bertanding pada PRN tersebut.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian PRN Johor pada 12 Mac dengan penamaan calon pada 26 Feb manakala 8 Mac ditetapkan untuk pengundian awal.- BERNAMA