KUANTAN – Seorang nelayan dikhuatiri lemas dipercayai terjatuh ke laut selepas bot gentian kaca miliknya terbalik di Karang Tanjung Pelindung, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa yang dikenali Fadzely Mohamed, 40, dari Kampung Seberang Cik Leh, Beserah dikatakan keluar untuk menangkap ikan bersama rakannya kira-kira pukul 7 pagi.
“Pada jam lebih kurang 6.20 petang dalam perjalanan balik ke darat botnya kehabisan minyak, setelah selesai mengisi minyak, lebih kurang 20 minit selepas itu.
“Namun tiba-tiba kipas enjin bot telah terkena tali keroncong sebuah bot pukat tunda yang sedang menunda pukat di perairan Karang Tanjung Pelindung berhadapan Tanjung Teluk Cempedak.
“Ekoran itu bot mereka terbalik, mangsa dan rakannya terjatuh ke dalam laut, mangsa tenggelam di bawah bot tersebut,” katanya.
Jelas Wan Mohd Zahari, rakan mangsa, Abdul Mutalib Abdul Rahman, 38, berusaha menyelamatkan diri dengan cuba memanjat ke atas bot yang terbalik manakala mangsa berpaut pada tali keroncong bot pukat tunda tersebut dalam keadaan memakai jaket keselamatan.
Secara tiba-tiba bot pukat tunda tersebut meneruskan kerja memukat menyebabkan tali yang di pegang mangsa tersentap dan pengadu terjatuh semula ke dalam laut, ujatnya.
Tambah beliau, Abdul Mutalib yang berjaya menyelamatkan diri, meminta bantuan kenalan berhampiran lokasi kejadian dan usaha awal pencarian dijalankan namun gagal menemui mangsa.
Operasi mencari dan menyelamat dijalankan pada pagi ini oleh pihak Agensi Penguatkusa Maritim Malaysia (APMM) dengan bantuan beberapa agensi ain bagi mengesan mangsa. – MalaysiaGazette