Home Nasional Ibu bapa jangan pentingkan diri, anak juga perlu perlindungan vaksin

Ibu bapa jangan pentingkan diri, anak juga perlu perlindungan vaksin

Pengunjung, Hafiz Ismail bercakap pada Malaysia Gazette berkenaan isu ibu bapa yang masih takut untuk membernarkananak mereka untuk divaksin di hadapan pusat membeli belah Sogo, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 20 FEBRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – “Dalam kita jaga diri jangan pentingkan diri sebab anak kita juga perlu diutamakan,” kata seorang bapa yang mana anaknya yang berusia lapan tahun akan menerima vaksin Covid-19.

Hasil tinjauan MalaysiaGazette mendapati majoriti ibu bapa peka  terhadap keperluan anak-anak yang berumur lima hingga 11 tahun diberikan vaksin.

Hafiz Ismail, 36, berkata, sebagai bapa tidak dinafikan akan terbit rasa bimbang untuk membenarkan anaknya disuntik vaksin.

Namun jelasnya, seperti golongan dewasa, anak-anak juga perlu diberikan perlindungan pertahanan badan apatah lagi dalam keadaaan varian Omicron yang sedang merebak.

“Biasalah, sebagai ibu bapa mula-mula takut anak dijadikan uji kaji, tiba-tiba kena divaksin. Tapi dalam kita jaga diri jangan pentingkan diri, anak kita juga perlu dipentingkan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Tambah beliau, dengan membenarkan anak divaksin maka sistem pertahanan badan mereka akan meningkat untuk berdepan dengan virus Covid-19.

“Kita mungkin fikir pertahanan badan anak kita kuat, vaksin boleh sebati dengan badannya. Cuma saya sarankan ibu bapa ambil vaksin untuk anak-anak, kita bawa anak merata tempat, kita ada perlindungan tapi anak tidak ada. Harap badan sekurang-kurangnya kalau divaksin ada dua pertahanan,” tambah beliau.

Terdahulu Hafiz memaklumkan telah mendaftarkan anaknya yang berusia lapan tahun untuk mendapat suntikan vaksin.

Keputusan itu dibuat selepas membuat penilaian terhadap keberkesanannya mencegah kesan serius akibat jangkitan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak.

Pengunjung, Haryani Mat Ghazali bercakap pada Malaysia Gazette berkenaan isu ibu bapa yang masih takut untuk membernarkananak mereka untuk divaksin di hadapan pusat membeli belah Sogo, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 20 FEBRUARI 2022.

Haryani Mat Ghazali, 46, mendedahkan pada awalnya berpendapat kanak-kanak termasuk anaknya yang berusia 10 tahun tidak perlu divaksin.

Namun, beliau mengubah pendirian selepas menyaksikan kes positif Covid-19 semakin meningkat setiap hari khususnya jangkitan dalam kalangan kanak-kanak.

“Sebenarnya kalau ikut saya, tidak suntik vaksin lagi pun tidak mengapa, tapi tengok keadaan kes semakin meningkat rasanya patut benarkan anak divaksin untuk keselamatan mereka juga,” katanya yang menunggu tarikh temu janji untuk anaknya mendapatkan suntikan MySejahtera.

Pengunjung, Jerry Unchang bercakap pada Malaysia Gazette berkenaan isu ibu bapa yang masih takut untuk membernarkananak mereka untuk divaksin di hadapan pusat membeli belah Sogo, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 20 FEBRUARI 2022.

Dalam pada itu, Jerry Unchang, 32, yang berasal Sarawak memaklumkan anaknya berusia enam tahun telah menerima vaksin.

Beliau berkata, ibu bapa perlu bertindak pantas untuk melindungi anak-anak daripada menjadi mangsa keganasan virus sekiranya tidak mempunyai bantuan pertahanan badan iaitu vaksin.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan ibu bapa tidak mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’ untuk membenarkan anak-anak mereka turut divaksin.

“Bagi saya untuk ibu bapa di luar sana jangan takut bagi anak vaksin sebab itu untuk kepentingan kita dan kepentingan kesihatan mereka,” katanya.

Katanya lagi, keyakinannya dan isteri bertambah apabila melihat anak-anak rakan-rakan sekerja turut diberikan vaksin tanpa mengalami kesan.

Terbaharu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memaklumkan jangkitan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak kini meningkat kepada 160 peratus. – MalaysiaGazette