Home Nasional Kuantan 188 sasar 350,000 pengunjung tahun ini

Kuantan 188 sasar 350,000 pengunjung tahun ini

KUANTAN – Menara kedua tertinggi di Malaysia, Kuantan 188 menyasarkan 350,000 pengunjung pada tahun ini.

Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Santhara J.P berkata, mercu ikonik baharu di Kuantan ini mampu meningkat kedatangan pelancong, sekali gus menjadi tempat wajib dikunjungi di negeri ini.

“Rakyat Malaysia dan penduduk Pahang cukup bertuah kerana memiliki menara kedua tertinggi di negara kita dengan pemandangan yang memukaukan.

“Pelancaran hari ini akan memberi suntikan dan nafas baharu kepada pengurusan Kuantan 188 untuk membangunkan seterusnya menara ini ke mata dunia,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media di lobi Kuantan 188 hari ini sempena Majlis Pelancaran Jenama dan Logo Baharu Kuantan 188 hari dan penaugerahan sijil sebagai ahli rasmi World Federation of Great Towers.

 

Hadir pada majlis Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Hospitality 360, Datuk Indera Omar Naresh Mohan dan Pengarah Urusan Kuantan 188, Datuk Zulkifli Mohamad.

Tambah beliau, para pelancong boleh menikmati pemandangan panorama bandar dan sungai Kuantan, sementara yang mahu merasai keseronokan menyirap darah boleh mencuba aktiviti seperti ‘Sky Walk”, “Drop Zone’ dan ‘Anthena Climb sama seperti yang terdapat di Menara Macau dan Taipei 101.

Aktiviti skywalk di Kuantan 188, menara kedua tertinggi di Malaysia.

Bermula pada 1 Januari 2022, Hospitality 360 menjadi pengendali Kuantan 188.

Pengunjung boleh membeli tiket secara dalam talian di laman web rasmi Kuantan 188 serta platform teknologi Al pelancongan Go Tifi.

Lawatan bermula dari 10 pagi hingga 10 malam pada hari biasa atau 10 pagi hingga 12 tengah malam pada hujung minggu dengan harga tiket bermula dari RM15 untuk dewasa dan RM10 bagi kanak-kanak untuk melawat tingkat pemerhatian.

Manakala RM28 bagi dewasa dan RM18 bagi kanak-kanak untuk melawat Skydeck, RM38 bagi dewasa dan RM18 kanak-kanak melawat kedua-dua tingkat. – MalaysiaGazette