Home Nasional Lebih empat kesan tikaman di dada, perut

Lebih empat kesan tikaman di dada, perut

MELAKA – Polis menemukan lebih empat kesan tikaman pada mayat seorang wanita yang dipercayai dibunuh teman lelakinya di sebuah rumah di Taman Merdeka semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, keputusan itu diperoleh hasil siasatan awal terhadap mangsa berusia 22 tahun itu yang masih lagi menjalani proses bedah siasat hari ini.

“Setakat ini, dipercayai terdapat lebih empat kesan tikaman pada badan wanita iaitu dua di dada dan dua lagi di bawah perut selain kita juga percaya mangsa turut ditikam di belakang badan.

“Bagaimanapun pihak polis masih lagi menyiasat motif utama kejadian walaupun awalnya kita percaya ia berkaitan perselisihan faham antara kedua-dua mereka.

“Setakat ini, kita juga percaya tiada penglibatan individu lain dalam kes ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang semalam, seorang lelaki dipercayai menikam sehingga mati kekasihnya sebelum menikam dirinya sendiri menyebabkannya turut maut di tempat kejadian.

Siasatan awal mendapati lelaki berusia 33 tahun itu dipercayai pelaku kejadian berkenaan berdasarkan penemuan sebilah pisau pemotong sayur di perutnya.

Pemeriksaan turut menemukan minyak tanah berhampirannya dengan kesan mulut yang berbuih dipercayai dia cuba bunuh diri dengan meminum minyak tanah sebelum menikam dirinya sendiri. – Bernama