KUALA LUMPUR – Keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang memerintahkan tiga adik-beradik dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diserahkan kepada ibu mereka, Loh Siew Hong yang membuat permohonan habeas corpus disambut baik peguam Dr Shamsher Singh Thind.
Menurutnya, kejayaan pada hari ini membuktikan tiada sesiapa kebal undang-undang dan bebas melakukan apa sahaja.
Kata Shamsher, keputusan itu juga membuktikan keadilan ditegakkan dan pelbagai tohmahan serta kenyataan berbaur perkauman dapat dihentikan.
“Ingat ya, ini bukan soal perkauman atau agama. Ini adalah soal hak kanak-kanak bawah umur dengan ibu mereka. Kita ada undang-undang, tanpanya keadaan pasti hura hura.
“Keadilan bagi kes ini, hubungan antara ibu kandung dan anak-anaknya yang terpisah dapat disatukan. Ini adalah ‘natural justice’, jika anda lihat sendiri, tidak ada mana-mana mahkamah di dunia yang membuat keputusan hak ibu dan anak atas batasan agama atau etnik.
“Dalam kes ini pelbagai pihak ambil kuasa penjagaan walhal hak penjagaan penuh diberikan kepada ibunya oleh mahkamah. Ironi sekali walaupun selepas membuat ketetapan seperti itu, ibu ini perlu merayu dan meminta kebenaran dari JKM, Jabatan Agama dan polis bagi berjumpa anak-anak kandungnya.
“Lebih teruk apabila masa terhad seperti sejam dua diberikan untuk melawat anak-anak yang sudah diperintahkan oleh Mahkamah diberikan hak penjagaan sepenuhnya,” katanya kepada pemberita di lobi mahkamah selepas selesai prosiding.
Kata Dr Shamsher, tindakan sesuka hati bertanya kepada anak-anak yang masih lagi bawah umur adakah mereka suka atau tidak ibu atau bapa mereka sebelum hak mutlak diambil tanpa proses perundangan yang sah tidak boleh di terima sama sekali.
“Dalam undang-undang Malaysia, jika kamu diberikan hak untuk menjaga anak-anak kamu, kalau kamu ibunya dan diberikan hak sepenuhnya oleh mahkamah untuk jaga pelihara, kau berhak atas anak kamu.
“Jika ada pihak tanya adakah kamu suka ibu kamu atau tidak, sepatutnya soal itu tidak wujud. Ramai juga dalam kalangan kita yang ada masalah ibu bapa dan anak, jika tanya adakah kamu suka ibu kamu dan jika jawapan kamu tidak suka, adakah saya berhak ambil kamu dari ibu kamu? Tidak ada undang-undang sedemikian,” ujarnya.
Dalam pada itu, kata Shamsheer, pihaknya sedang menunggu surat pendaftaran rasmi yang membuktikan ketiga-tiga anak Siew Hong yang berusia antara 10 hingga 14 tahun itu sudah telah didaftarkan sebagai mualaf sebelum pihaknya melakukan semakan kehakiman bagi mencabar pendaftaran tersebut.
Pada prosiding hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah berpuas hati pemohon telah diberikan hak jagaan, pemeliharaan dan kawalan tunggal terhadap ketiga-tiga anaknya melalui perintah Mahkamah Tinggi pada 31 Mac 2021.
Collin ketika membacakan keputusannya berkata, Siew Hong sebelum itu turut diberikan hak jagaan dan kawalan sementara terhadap ketiga-tiganya dan perintah itu tidak boleh dianggap sewenang-wenangnya.
“Perintah mahkamah masih kekal dan masih sah. Perintah mahkamah tidak boleh dilayan dengan sewenang-wenangnya dalam berhadapan penghinaan mahkamah. Oleh sebab perintah mahkamah masih kekal, saya membenarkan permohonan writ habeas corpus,” ujarnya.
Dalam notis usulnya yang difailkan melalui Tetuan SS Thind pada 13 Februari lalu, Siew Hong menamakan Nazirah Nanthakumari Abdullah sebagai responden pertama dan pihak yang tidak dinamakan yang beliau dakwa menjaga tiga anaknya sebagai responden kedua.
Dia telah memohon writ habeas corpus atau perintah lain yang sesuai oleh mahkamah untuk membolehkan anak-anaknya itu dibebaskan serta-merta daripada hak penjagaan persendirian responden, dan dikembalikan kepadanya. – MalaysiaGazette