KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) memberi bayangan bahawa parti itu akan bertanding lebih daripada enam kerusi sebagai mana yang diputuskan dalam rundingan bersama antara DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) sebelum ini.
Malah Presidennya, Syed Saddiq Syed AbduL Rahman berkata, kini MUDA mengintai kerusi yang tidak dimenangi oleh mana-mana parti dalam Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Jumlah (kerusi DUN) lebih baik kita umumkan apabila masanya tiba.
“Itu akan diumumkan dalam masa terdekat, kini ada empat calon dan fokus kepada empat calon ini dahulu. Calon lain kita akan umumkan dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas membuat pengumuman tiga calon MUDA untuk kerusi DUN Tenang, Bukit Kepong dan Bukit Permai, hari ini.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Muar itu enggan memperincikan berapa jumlah yang akan ditanding oleh parti itu, kelak.
Untuk rekod, kerusi DUN Tenang, Bukit Kepong dan Bukit Permai adalah hasil rundingan dengan DAP dan Amanah selain Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa.
Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata, MUDA telah menyatakan komitmen untuk tidak bertanding di kerusi-kerusi yang pernah dimenangi PH pada PRU14 dan akan fokus kepada kerusi-kerusi yang pernah ditandingi Barisan Nasional (BN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Komitmen MUDA adalah untuk tidak bertanding di kerusi penyandang tidak kira DAP atau Amanah mahupun PKR.
“Kita nak fokus kepada kerusi yang dimenangi oleh UMNO, BN ataupun Bersatu,” katanya.
Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata, MUDA akan menggunakan logonya sendiri ketika masuk bertanding di PRN Johor buat pertama kali. – MalaysiaGazette