Home Nasional Status operasi bazar Ramadan P. Pinang belum diputuskan – Kon Yeow

Status operasi bazar Ramadan P. Pinang belum diputuskan – Kon Yeow

GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang masih belum memutuskan pengoperasian bazar Ramadan pada tahun ini.

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeo berkata, perkara tersebut akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Covid-19 peringkat negeri minggu depan.

“Memang Kerajaan Pusat benarkan penganjuran bazar Ramadan tapi di peringkat negeri ini ia akan diputuskan tertakluk pada situasi semasa.

“Kita akan lihat pembentangan situasi semasa Covid-19 dalam mesyuarat itu sebelum membuat keputusan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini, hari ini.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) susulan kes jangkitan Covid-19 melonjak di negeri ini, Kon Yeow berkata, pihaknya akan memaklumkan sebarang perubahan SOP minggu depan.

“Isu ketatkan SOP ini turut akan dibincangkan dalam mesyuarat sama berkaitan operasi bazar Ramadan dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan selepas mesyuarat itu diadakan minggu depan.

“Saya juga ingin memaklumkan jumlah kes harian Covid-19 di negeri ini walaupun mencecah angka 1,000 hingga 2,000 kes sehari tidak semuanya membabitkan varian Delta serta Omicron.

“Setakat pertengahan Februari lalu sebanyak 544 kes varian Delta dicatatkan di negeri ini dan diikuti 37 kes varian Omicron,” kata Kon Yeow.

Untuk rekod setakat semalam Pulau Pinang mencatatkan 1,811 kes baharu Covid-19. – MalaysiaGazette