Home Utama Beli air mentah : P.Pinang jumpa Perak Mac ini

Beli air mentah : P.Pinang jumpa Perak Mac ini

Penang civil servants Syawal Aidilfitri special financial aid
Chow Kon Yeow.

GEORGE TOWN – Kerajaan DAP Pulau Pinang akan mengadakan perjumpaan dengan kerajaan negeri Perak bagi membincangkan hasrat membeli air mentah menerusi Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) pada 1 Mac ini.

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, perjumpaan itu diadakan bagi menyambung usaha perbincangan sebelum ini dengan Menteri Besar baharu, Datuk Seri Saarani Mohamad.

“Sepatutnya perjumpaan itu diadakan minggu lalu namun terpaksa ditangguhkan susulan saya menjadi kontak rapat kes positif Covid-19.

“Kita akan adakan satu perjumpaan pada 1 Mac ini di Perak bagi membincangkan isu tersebut memandangkan kajian mendapati Pulau Pinang memerlukan sumber air alternatif menjelang 2025-2030 dan Sungai Perak dikenal pasti sebagai salah satu alternatifnya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Kon Yeow berkata, perbincangan mengenai SPRWTS dibuat sejak tahun 2019 ketika Dr Xavier Jayakumar memegang jawatan Menteri Alam Sekitar dan Air.

“Beliau (Xavier) telah memudahkan cara antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang, pihak kementerian serta Kerajaan Negeri Perak selain mengadakan satu mesyuarat bagi membincangkan isu berkenaan ketika itu.

“Selepas berlaku pertukaran menteri perbincangan itu tertangguh namun saya telah bangkitkan isu ini untuk pengetahuan Kerajaan Pusat,” ujar beliau.

Pada 19 Oktober 2020, Pulau Pinang menghantar surat permohonan rasmi kepada Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man untuk membeli air mentah dari Perak pada harga berpatutan.

Bagaimanapun, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam satu kenyataan pada Disember lalu memaklumkan pihaknya memberi keutamaan kepada keperluan penggunaan air domestik sebelum membuat sebarang keputusan untuk menjual air mentah kepada negeri lain termasuk Pulau Pinang.

Pada 8 Disember lalu, MalaysiaGazette melaporkan rawatan air konvensional bagi air mentah dari Sungai Perak akan menjadi penyelesaian bekalan air dengan kos paling efektif untuk Perak dan Pulau Pinang, kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang  (PBAPP), Datuk Ir. Jaseni Maidinsa.

Jelas beliau, pihaknya dan kerajaan negeri akan berusaha untuk melaksanakan Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) kerana Pulau Pinang dan Perak memerlukan lebih banyak bekalan air untuk memenuhi keperluan rakyat pada masa depan. – MalaysiaGazette