KUALA LUMPUR – Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menggesa kerajaan Persekutuan mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah Negeri menjalankan semakan kehakiman berhubung keputusan dibuat oleh Majlis Agama Islam Negeri.
Presidennya Musa Awang berkata pindaan itu perlu untuk memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah negeri menjalankan semakan kehakiman ke atas apa-apa keputusan oleh jawatankuasa yang menjalankan fungsi di bawah undang-undang syariah negeri termasuk jawatankuasa fatwa negeri-negeri.
“PGSM berpandangan bahawa apa-apa semakan kehakiman terhadap keputusan tersebut sewajarnya dibuat oleh Mahkamah Syariah memandangkan ia adalah forum sesuai dan kompeten kerana melibatkan pihak dalam kalangan orang beragama Islam dan berpaksikan kepada hukum syarak.
Beliau berkata demikian susulan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini mengisytiharkan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor tidak mempunyai kuasa untuk membuat enakmen yang membenarkan Mahkamah Syariah negeri mendengar semakan kehakiman berhubung keputusan oleh pihak berkuasa agama negeri.
Panel sembilan hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan sebulat suara berkata mahkamah mendapati Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 tidak mengikut perlembagaan dan tidak sah kerana ia adalah peruntukan yang DUN Selangor tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.
Mahkamah Persekutuan memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan SIS Forum (Malaysia) selaku pempetisyen untuk mencabar peruntukan enakmen berkenaan.
— BERNAMA