KUALA LUMPUR – Kes harian Covid-19 menunjukkan sedikit penurunan dengan 25,099 kes baharu dicatatkan setakat semalam berbanding 26,832 kelmarin.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kumulatif kes Covid-19 kini sebanyak 3,246,779 kes.
Menurutnya, daripada jumlah kes harian yang dilaporkan setakat semalam, 24,999 kes (99.60 peratus) adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.
“Sebanyak 100 kes atau 0.40 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dr. Noor Hisham berkata, berdasarkan pecahan, kategori satu mencatatkan sebanyak 7,763 kes, kategori dua (17,236 kes), kategori tiga (56 kes), kategori empat (23 kes) dan kategori lima 21 kes.
Jelas beliau, daripada 100 kes kategori tiga, empat dan lima yang baharu, sebanyak 25 kes adalah tidak divaksinasi atau belum lengkap vaksinasi manakala 53 kes telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak.
Katanya lagi, 22 kes pula membabitkan individu yang telah menerima dos penggalak, 47 kes individu berusia 60 tahun ke atas, 52 kes mempunyai comorbid dan satu kes melibatkan ibu mengandung.
Dalam pada itu, Dr. Noor Hisham berkata, sebanyak 272 kes sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi manakala 164 kes memerlukan bantuan pernafasan.
“Sebanyak 17,749 kes sembuh direkodkan semalam dengan jumlah kumulatif 2,955,404,” ujarnya.
Tambah beliau, sebanyak 500 kluster masih aktif dengan jumlah kluster baharu yang dicatatkan sebanyak empat kluster. – MalaysiaGazette