Home Nasional Lebih 14 juta individu dewasa terima dos penggalak

Lebih 14 juta individu dewasa terima dos penggalak

Sejumlah 14,078,456 dos penggalak telah diberikan kepada individu dewasa yang layak sejak Program Imunisasi Covid-19 Dos Penggalak (PICK-B) dimulakan pada 1 Oktober lalu sehingga semalam. - Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sejumlah 14,078,456 dos penggalak telah diberikan kepada individu dewasa yang layak sejak Program Imunisasi Covid-19 Dos Penggalak (PICK-B) dimulakan pada 1 Oktober lalu sehingga semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu bersamaan dengan 59.8 peratus daripada penduduk dewasa di negara ini.

“Kumpulan individu yang tidak divaksinasi adalah paling berisiko untuk dijangkiti Covid-19 yang serius (terutama kategori 4 dan 5) dan juga paling berisiko untuk mati akibat jangkitan Covid-19.

“Kumpulan individu yang telah menerima vaksin Covid-19 dos penggalak adalah paling terlindung, di mana dapat dilihat kurang kes dijangkiti Covid-19 yang serius (kategori 3, 4 dan 5) dan juga kematian akibat Covid-19 dalam kalangan penerima dos penggalak berbanding kumpulan yang tidak divaksinasi (nonvaccinated) dan kumpulan lengkap divaksin tetapi tidak lengkap dos penggalak (vaccinated but unboosted),” katanya dalam kenyataan  hari ini.

Berdasarkan carta bar yang dikongsi, bermula 24 Januari sehingga semalam, individu yang berusia 60 hingga 69 tahun yang tidak divaksinasi merupakan kumpulan umur tertinggi dijangkiti Covid-19 kategori tiga (per 100,000 populasi) diikuti individu berusia 80 tahun ke atas yang tidak divaksinasi.

Sementara bagi kes Covid-19 kategori empat dan lima (per 100,000 populasi), individu yang berusia 80 tahun dan ke atas yang tidak divaksinasi merupakan kumpulan tertinggi dijangkiti Covid-19 diikuti mereka yang berumur 60-69 tahun dan 70-79 tahun.

Menurut Dr. Noor Hisham, vaksin dos penggalak dapat memberi perlindungan yang terbaik daripada kematian dan gejala serius dari jangkitan Covid-19.

Sehubungan itu, katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) menasihati semua individu dewasa yang berkelayakan namun belum menerima vaksin dos penggalak segera mendapatkannya dari pusat pemberian vaksin (PPV) yang terdekat secara walk-in atau semak PPV di https://vaksincovid.protecthealth.com.my/find.

“Bagi yang telah mendaftar, KKM memohon agar anda hadir ke slot janji temu itu,” katanya. – MalaysiaGazette