Home Nasional Harap jumlah penumpang MRT kekal selepas kena tambang

Harap jumlah penumpang MRT kekal selepas kena tambang

Ketua Pegawai Operasi MRT, Muhammad Isom Azis (kiri) keluar dari gerabak MRT pada sesi walkabout hari pertama pembayaran tiket di Stesen MRT Sungai Buloh, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 17 JANUARI 2017

SUNGAI BULOH- Ketua Pegawai Operasi Transit Aliran Massa (MRT), Muhammad Isom Azis menyasarkan jumlah penumpang sekurang-kurangnya kekal 32,000 sehari walaupun selepas tambang MRT bermula hari ini.

“Kami menganggarkan corak pengguna tidak jauh daripada jumlah sebelum ini. Sebelum ini penumpang sehari antara 27,000 sehingga 32,000. Jadi kami berharap agar ianya dapat dikekalkan,” ujarnya dalam sidang media di sini hari ini.

Muhammad Isom memberitahu, sebelum ini, pihaknya menyasarkan penumpang sehingga 45,000 namun memandangkan hanya 12 stesen sahaja dibuka bagi jajaran Sungai Buloh ke Semantan, ia mungkin menyebabkan pengguna masih belum memilih sepenuhnya perkhidmatan MRT.

Dalam sidang media itu juga beliau turut mengumumkan pengguna MRT selama sebulan sehingga semalam telah mencatatkan penumpang sehingga 1.2 juta orang.

Jumlah itu ujarnya merupakan pencapaian yang baik untuk MRT.

Menyentuh mengenai operasi hari pertama dengan mengenakan tambang, beliau menjelaskan, operasi berjalan lancar meskipun terdapat masalah di mesin pembelian kad.

Namun masalah itu dapat diatasi segera dengan kehadiran kakitangan di 12 stesen MRT.

Muhammad Isom turut berharap agar orang ramai agar menggunakan kad Touch and Go untuk menaiki MRT bagi melancarkan perjalanan.

Dalam pada itu, MRT turut berharap dapat mendidik pengguna untuk tidak menggunakan tunai.-MalaysiaGazette