Home Nasional Mahkamah Tinggi tolak saman keluarga Karuna

Mahkamah Tinggi tolak saman keluarga Karuna

Kuala Lumpur Court Complex MACC MEIO case items evidence Hasanah Abdul Hamid
Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak saman sivil dikemukakan keluarga mendiang P. Karuna Nithi yang didakwa meninggal dunia ketika ditahan dalam penjara pada 2013.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak saman sivil dikemukakan keluarga mendiang P. Karuna Nithi yang didakwa meninggal dunia ketika ditahan dalam penjara pada 2013.

Pesuruhjaya Kehakiman, John Lee Kien How @ Mohammad Johan Lee membuat ketetapan menolak saman sivil pada Januari tahun lepas oleh keluarga mendiang terhadap kerajaan Malaysia dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) atas talian hari ini.

Menurut Peguam Kanan Persekutuan, Raja Zaizul Faridah Zaharudin yang mewakili defendan (kerajaan, PDRM), mahkamah turut memerintahkan plaintif membayar kos sebanyak RM9,000 kepada defendan.

Plaintif adalah isteri kepada mendiang, Kaliamah, 44, dan dua anak lelakinya, K. Yugesh Varan, 22 dan K. Kisho Kumar, 20.

Bagaimanapun peguam mewakili plaintif, T. Manoharan akan mengemukakan rayuan kepada keputusan hari ini.

Dalam saman yang dikemukakan oleh keluarga mendiang pada Januari 2021, pihaknya menuntut pampasan atas dakwaan pihak berwajib telah melanggar hak asasi yang termaktub di bawah bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

Untuk makluman, pada Januari 2015, Mahkamah Koroner Seremban telah memutuskan kematian seorang jurutera, Karuna Nithi berpunca akibat kecederaan dilakukan oleh anggota polis serta tahanan lain.

Dua tahun kemudian, Mahkamah Tinggi Seremban mengekalkan keputusan itu.

Mendiang yang ketika itu sedang menunggu masa untuk diikat jamin ditemui mati dalam lokap di Balai Polis Tampin sekitar Jun 2013.

Karuna Nithi ditahan selepas menyerang isterinya dalam satu pertengkaran di Taman Muhibbah, Gemencheh pada Mei tahun sama sebelum wanita itu membuat laporan polis.

Dia kemudian dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tampin pada 31 Mei 2013 di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibebaskan dengan ikat jamin RM4,000. -MalaysiaGazette