Home Nasional 21 motosikal diubah suai ekzos disita polis

21 motosikal diubah suai ekzos disita polis

Foto: JSPT KL

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur menyita 21 buah motosikal yang telah diubahsuai ekzos yang mengeluarkan bunyi bising dalam operasi yang dilakukan di sekitar ibu negara hari ini.

Menurut satu kenyataan, pemilik motosikal terbabit telah disaman dan mereka diarahkan untuk mengubah semula kepada ekzos asal.

“Kesemua motosikal itu dilibatkan dalam ujian pengesanan bunyi bising oleh pihak JAS (Jabatan Alam Sekitar),” kata JSPT KL dalam laman Facebook hari ini.

Tambahnya, dalam Operasi Motosikal Ubahsuai Ekzos Bising itu, JSPT telah mengeluarkan 19 saman ke atas pengguna jalan raya kerana melakukan kesalahan mengubahsuai ekzos yang menyebabkan bunyi bising.

“Manakala bagi pemeriksaan bunyi bising motosikal, sebanyak 18 buah motosikal telah menjalani ujian bunyi bising dan sebanyak 10 kompaun telah dikeluarkan selepas keputusan ujian mendapati bunyi bising ekzos melebihi kadar yang ditetapkan pihak berkuasa.

“Orang ramai diingatkan supaya sentiasa mematuhi Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Bunyi Bising Kenderaan Motor) 1987 dan Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan daripada Motosikal) 2003 serta mematuhi peraturan jalan raya khususnya pemilik motosikal supaya tidak mengubahsuai ekzos yang mengeluarkan bunyi bising sehingga mengganggu ketenteraman masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette